25.8 C
Kuala Lumpur
Wednesday, February 25, 2026

Andai Itu Takdirnya 2 cetus sensasi, Aleya bangkit ‘sound tegak’ Aizril

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR – Fenomena drama Melayu kembali memuncak menerusi kesinambungan karya sentuhan emas novelis terkenal, Siti Rosmizah apabila Andai Itu Takdirnya 2 kini hangat ditayangkan menerusi slot MegaDrama di Astro Ria.

Disiarkan setiap Isnin hingga Khamis pada jam 10 malam di saluran 104 (RIA) serta platform Sooka, musim kedua ini berjaya mencetuskan perbincangan hangat dalam kalangan penonton setia sejak episod-episod terawal lagi.

Diterbitkan oleh SR ONE Sdn. Bhd., drama ini kembali mengangkat konflik rumah tangga yang sarat dengan emosi, pengkhianatan dan dilema moral, sekali gus memperkukuh reputasinya sebagai antara drama bersiri Melayu paling mendapat perhatian sejak musim pertama yang ditayangkan pada 2023.

Memasuki 10 episod awal, penonton diuji dengan sikap ‘red flag’ Aizril yang masih gagal melepaskan diri daripada konflik bersama wanita ketiga.

Watak Aizril yang dibawakan oleh Shukri Yahya terus menimbulkan kemarahan ramai apabila terperangkap dalam dilema antara rumah tangga dan perniagaan yang semakin meruncing.

Demi menyelamatkan syarikatnya daripada muflis, Aizril tergamak mendesak isterinya, Aleya, agar mengizinkan dia berpoligami dengan Azreen.

Aleya yang kini hidup dengan kecacatan pada tangan sekali lagi diuji dengan pengkhianatan suami.

Watak yang dilakonkan Hannah Delisha itu tidak lagi digambarkan sebagai wanita lemah seperti musim terdahulu.

Sebaliknya, Aleya tampil lebih tegas dan berani mempertahankan maruah serta prinsip dirinya, sekali gus membuatkan ramai penonton berpuas hati melihat perkembangan karakter berkenaan.

Konflik semakin memuncak apabila Azreen, yang dimainkan Nadia Brian, memanipulasi keadaan demi memastikan hasratnya untuk berkahwin dengan Aizril tercapai.

Antara babak yang mencetuskan kemarahan penonton adalah adegan Aizril menyimbah sup panas ke wajah Aleya selepas mempercayai dakwaan kononnya isterinya cuba mencederakan Azreen.

Babak dramatik itu menjadi tular dan terus mengundang pelbagai reaksi di media sosial.

Di sebalik episod-episod penuh tekanan ini, Aleya digambarkan sebagai wanita yang semakin matang dalam menghadapi ujian hidup.

Walaupun perasaan hancur dan kecewa tetap membelenggu, Aleya memilih untuk tidak lagi menzahirkan kelemahannya di hadapan anak-anak.

Dia berusaha memperlihatkan kekuatan demi memberi contoh bahawa seorang ibu harus tetap tabah walau diuji berkali-kali.

Namun di sisi sahabat baik dan ibunya, Aleya tetap manusia biasa yang memerlukan ruang untuk meluahkan kesedihan.

Hannah berkata, perkembangan karakter ini dibentuk hasil perbincangan bersama pengarah, Feroz Kadir, bagi memastikan Aleya tampil lebih berprinsip dan tidak terus dibayangi imej wanita yang hanya berserah kepada takdir.

Pendekatan itu dilihat berjaya memberikan dimensi baharu kepada jalan cerita dan mengukuhkan lagi kekuatan emosi musim kedua ini.

Berbeza dengan Aleya, Aizril kekal sebagai lelaki yang panas baran dan celaru dalam membuat keputusan, terutama apabila membabitkan wanita.

Pergolakan antara tanggungjawab sebagai suami dan tekanan perniagaan menjadikan dirinya terus terperangkap dalam pilihan yang salah, sekali gus mencetuskan persoalan sama ada dia akan sekali lagi mensia-siakan peluang yang diberikan oleh isterinya.

Sepanjang 40 episod yang dirancang, pelbagai konflik dan persoalan bakal terungkai satu demi satu.

Penonton pastinya tertanya-tanya sama ada Aizril benar-benar akan berjaya mengahwini Azreen dan menjalani kehidupan berpoligami, atau akhirnya menyedari kesilapan yang hampir memusnahkan keluarganya sendiri.

Selain gandingan utama yang menjadi tunjang kekuatan drama ini, Andai Itu Takdirnya 2 turut dibintangi barisan pelakon hebat seperti Fahrin Ahmad, Puteri Sarah Liyana, Laila Nasir, Aida Khalida dan Idzham Ismail yang menambah warna kepada keseluruhan penceritaan.

ARTIKEL BERKAITAN

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Popular