editormaxinfo@gmail.com
TANJONG MALIM – Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) terus mengukuhkan kedudukannya sebagai institusi pendidikan berteraskan pembangunan insan holistik apabila tersenarai dalam kelompok 101 hingga 125 terbaik dunia bagi bidang pendidikan dalam Times Higher Education (THE) World University Rankings 2026.
Ini sekali gus membuktikan kekuatan pendekatan universiti yang mengimbangi kecemerlangan akademik dan pembinaan nilai jiwa.
Naib Canselor UPSI, Prof. Datuk Dr. Md Amin Md Taff berkata, pengiktirafan di peringkat global itu bukan sekadar hasil prestasi akademik dan penyelidikan semata-mata, sebaliknya berpaksikan kepada pembinaan JIWA UPSI yang menyeluruh, merangkumi ketakwaan, keinsanan, kekeluargaan, kecemerlangan serta jiwa pendidik dalam kalangan warga universiti.
Menurut beliau, kegemilangan sesebuah universiti tidak hanya diukur melalui kedudukan ranking antarabangsa, tetapi sejauh mana nilai kemanusiaan, adab dan akhlak menjadi nadi kepada setiap dasar serta inisiatif yang dilaksanakan.

“Pencapaian global UPSI hari ini adalah hasil keseimbangan antara prestasi dan jiwa.
“Nilai adab, akhlak dan kemanusiaan mesti menjadi teras kepada kecemerlangan universiti,” katanya ketika menyampaikan amanat sempena Aspirasi Bitara 3.0 @ JIWA UPSI di Dewan Tuanku Canselor, Kampus Sultan Azlan Shah, di sini.
Beliau berkata, kerangka strategik BITARA yang merangkumi Bakat Unggul, Inovasi dan Penyelidikan, Transformasi Digital, Adab dan Akhlak, Revolusi Ekosistem serta Adaptasi Global menjadi pemacu utama dalam memperkukuh daya saing UPSI di peringkat nasional dan antarabangsa menjelang tahun 2026.
Di bawah teras Bakat Unggul, UPSI melaksanakan pelbagai inisiatif strategik termasuk pembangunan Model Warga UPSI berteraskan nilai budiman dan inovatif, penganjuran Leadership Summit@Oxford University, penambahbaikan sistem pengambilan staf, pelaksanaan Expert@UPSI 2.0, Smart Campus 2.0 serta sistem kenaikan pangkat melalui i-Promote Fasa 2.
Bagi memperkukuh ekosistem penyelidikan dan inovasi, UPSI turut melaksanakan beberapa inisiatif utama termasuk program 4P bernilai RM35 juta, pelaksanaan Industry on Campus (IOC), penubuhan Pusat Hubungan dan Jaringan Industri, inisiatif KARYA@UPSI dengan sasaran 1,000 penerbitan Scopus serta Research Booster Initiatives bagi meningkatkan produktiviti dan impak penyelidikan akademia.
Dalam mendepani cabaran era digital, UPSI memberi tumpuan serius terhadap Transformasi Digital menerusi pelaksanaan pelbagai inisiatif termasuk AI4ALL, penubuhan Honor AI Lab, pembangunan Data Warehouse, penaiktarafan infrastruktur rangkaian melalui UPSI NetX, pengukuhan keselamatan siber serta penggunaan platform digital dalam pemasaran dan penyampaian perkhidmatan kampus.
Teras Adab dan Akhlak pula terus menjadi tunjang pembentukan JIWA UPSI melalui pelaksanaan pelbagai program kebajikan dan kesejahteraan pelajar seperti 5 Minutes Adab Talk, PLKN 3.0, Dapur Siswa MADANI, Mahasiswa Prihatin, Student Well-Being Index (STIDEX) serta inisiatif Counselor on Wheel bagi menyokong kesihatan mental dan emosi pelajar.
“Semua inisiatif ini disatukan dengan nilai jiwa supaya warga UPSI bukan sahaja cemerlang dari sudut intelek, malah berakhlak, beradab dan mampu menjadi agen perubahan dalam masyarakat,” katanya.

Mengulas mengenai Revolusi Ekosistem, Prof. Md Amin berkata UPSI sedang melaksanakan pelbagai inisiatif berskala besar termasuk penjanaan pendapatan universiti, projek penjimatan tenaga solar, pembangunan kampus baharu, pusat komuniti dan kediaman pelajar, infrastruktur latihan berprestasi tinggi serta inisiatif kampus rendah karbon ke arah sasaran 2030.
Selain itu, UPSI turut memperkukuh Adaptasi Global melalui pelaksanaan pelbagai inisiatif antaranya sasaran pengambilan 2,200 pelajar antarabangsa, penganjuran Global Educator Award 2026 yang melibatkan penyertaan 100 negara, peluasan bilik darjah global serta pelaksanaan program pendidikan fleksibel bagi memenuhi keperluan pendidikan masa depan.
Katanya, kesemua aspirasi BITARA itu diperkasakan melalui penghayatan JIWA UPSI yang merangkumi JIWA Ketaqwaan, Keinsanan, Kekeluargaan, Kecemerlangan dan Jiwa Pendidik, yang diterjemahkan secara menyeluruh dalam pembangunan kebajikan, kesejahteraan, kerohanian serta profesionalisme warga universiti.
“JIWA UPSI adalah roh kepada setiap dasar dan pencapaian universiti. Inilah kekuatan sebenar UPSI dalam melahirkan graduan pendidik dan warga universiti yang seimbang, berdaya saing serta relevan dengan tuntutan global,” katanya.
Turut hadir dan menyampaikan amanat pada majlis berkenaan ialah Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) UPSI, Profesor Dr. Suriani Abu Bakar; Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UPSI, Profesor Dr. Norkhalid Salimin; Pendaftar UPSI, Helmi Zaifura Abdul Rahman; Bendahari UPSI, Mohamad Najib Mohamed; Pengarah Jabatan Pengurusan Pembangunan dan Harta Benda, Saiduri Dolah serta Ketua Pegawai Digital Pusat Teknologi Maklumat dan Komunikasi UPSI, Ts. Dr. Megat Azrin Ahmad.

