editormaxinfo@gmail.com
KUALA LUMPUR – Dunia Herbs melakar satu lagi pencapaian penting dalam perjalanan jenamanya apabila melancarkan produk terbaharu, Losyen Mustajab Mini Sauna dengan pilihan wangian eksklusif.
Lebih istimewa pelancaran itu turut mengumumkan pelakon popular tanah air, Fasha Sandha, sebagai duta rasmi jenama berkenaan.
Pelancaran yang berlangsung meriah itu menyaksikan Dunia Herbs terus memperkukuh kedudukan sebagai antara jenama produk herba tempatan yang kekal relevan dan diyakini pengguna sejak sekian lama.
Pengarah Dunia Herbs, Wan Noramira Wan Rosdi, berkata pemilihan Fasha Sandha sebagai duta adalah keputusan tepat memandangkan personaliti dan perjalanan kerjaya aktres itu selari dengan identiti jenama Dunia Herbs yang menekankan konsistensi serta kepercayaan.

Menurut beliau, Fasha Sandha bukan sahaja dikenali sebagai pelakon berbakat besar, malah kekal relevan dan disukai pelbagai lapisan penonton hasil kesungguhan serta disiplin tinggi dalam kerjayanya.
Katanya, perkara itu, mencerminkan nilai yang sama seperti yang dipegang oleh Dunia Herbs dalam membangunkan produk berkualiti untuk pengguna.
“Kehadiran Fasha Sandha sebagai duta diyakini mampu membantu melonjakkan lagi jualan Losyen Mustajab Mini Sauna, terutama dengan komitmen aktres itu yang sentiasa memberikan idea serta pandangan bernas dalam usaha memperkenalkan kebaikan produk kepada masyarakat.
“Dunia Herbs juga menyasarkan untuk memperluaskan pasaran losyen wangian ini kepada golongan muda yang bukan sahaja mencari penyelesaian untuk masalah seperti lenguh badan dan senggugut, malah kami mahu produk ini memberikan kesegaran serta keyakinan melalui aroma yang menyenangkan,” katanya.

Sementara itu, Fasha Sandha berkata, beliau menerima tawaran sebagai duta Dunia Herbs tanpa ragu-ragu kerana sudah lama mengenali dan menggunakan produk Mustajab bersama keluarganya.
Menurut Fasha, penglibatannya dalam projek ini turut membuka ruang untuk idea baharu yang lebih dekat dengan cita rasa generasi muda, khususnya Gen Z.
“Idea menghasilkan losyen Mustajab dengan pilihan wangian tercetus daripada keinginan untuk menjadikan produk berkesan itu lebih digemari golongan muda, tanpa mengorbankan fungsi utamanya.
“Selain berkesan, losyen ini juga memberikan keyakinan tambahan kerana baunya yang harum dan menyenangkan,” katanya.

Pelantikan Fasha Sandha sebagai duta terbaharu ini meneruskan legasi Dunia Herbs yang sebelum ini pernah bekerjasama dengan beberapa selebriti terkenal seperti Kuza, Nora Danish serta selebriti Indonesia, Oki Setiana Dewi, dalam usaha memperkukuh jenama di peringkat tempatan dan antarabangsa.
Losyen Mustajab Mini Sauna tampil dengan empat pilihan wangian eksklusif iaitu Quince & Tulip, Golden Oud, Blooming Peach dan Amouge, yang direka untuk memenuhi keperluan serta citarasa pelbagai golongan pengguna.
Inovasi ini dilihat sebagai langkah strategik bagi memastikan produk Mustajab terus kekal relevan, khususnya dalam kalangan generasi muda, tanpa mengetepikan losyen klasik yang telah lama menjadi pilihan pengguna setia.

Dalam pada itu, Wan Noramira berkata, jika sebelum ini Dunia Herbs membawa tagline ‘satu rumah satu losyen Mustajab’, kini jenama itu memperkenalkan konsep baharu iaitu setiap bilik dalam rumah mempunyai losyen Mustajab tersendiri, selaras dengan karakter unik setiap wangian yang ditawarkan.
Pelancaran Losyen Mustajab Mini Sauna ini dijangka membuka lembaran baharu buat Dunia Herbs dalam usaha mendekati generasi muda, di samping mengekalkan kepercayaan pengguna setia terhadap jenama herba tempatan yang telah lama bertapak di pasaran.

