27.9 C
Kuala Lumpur
Wednesday, January 14, 2026

DMG Food perkenal DMG The Cookies Boutique, sasar pasaran tempatan dan antarabangsa

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR – Selepas berpuluh tahun dikenali sebagai pengeluar butter cookies tradisional, DMG Food Industries Sdn Bhd kini melangkah ke fasa baharu dengan memperkenalkan idea lebih segar dan berani menerusi penubuhan DMG The Cookies Boutique, butik biskut pertama yang memfokuskan kepada produk biskut cookies premium di pasaran tempatan.

Langkah transformasi ini bermula pada tahun ini bersempena musim perayaan apabila syarikat itu memutuskan untuk menghasilkan rangkaian cookies raya sebagai percubaan awal.

Sambutan yang diterima ternyata di luar jangkaan apabila mendapat permintaan tinggi walaupun produk berkenaan belum dilancarkan secara rasmi, termasuk tempahan yang telah menembusi pasaran Singapura.

Pengerusinya, Datuk Dr. Hassan Saad berkata, realiti pasaran hari ini memperlihatkan kebanyakan biskut raya yang dihasilkan secara kilang sering dilihat tidak mempunyai nilai premium.

Justeru, DMG The Cookies Boutique tampil dengan misi untuk mengubah persepsi itu dengan memperkenalkan produk biskut yang menitikberatkan kualiti bahan, rasa dan pengalaman pengguna.

“Bagi memenuhi keperluan pelbagai segmen pelanggan, biskut yang ditawarkan dibahagikan kepada dua kategori utama iaitu Premium dan Golden Taste, yang berada pada tahap above premium.

“Kategori Premium menampilkan 11 jenis biskut, manakala Golden Taste pula menawarkan 15 variasi berbeza, sekali gus memberi lebih banyak pilihan kepada pembeli mengikut cita rasa masing-masing,” katanya.

Dr Hassan berkata, dari segi pengeluaran, syarikat mengakui berdepan cabaran besar susulan sambutan luar biasa yang diterima.

Untuk kempen perayaan yang dirancang, jumlah pengeluaran dihadkan kepada 100,000 pek sahaja, setiap satu dan mengandungi empat balang biskut dengan nilai jualan RM100.

“Had ini ditetapkan bagi memastikan kawalan kualiti terus terjaga walaupun permintaan pasaran semakin meningkat.

“Permintaan awal yang diterima daripada pelbagai pihak termasuk pertubuhan bukan kerajaan dan rakan strategik menunjukkan angka tempahan yang besar, sekali gus membuktikan potensi tinggi produk berkenaan.

“Selain jualan runcit dan fizikal, syarikat turut membuka ruang kepada penjualan dalam talian dengan sokongan rakan kongsi strategik bagi melancarkan pengurusan dan pengedaran,” katanya.

Dalam usaha memperkukuh penjenamaan, DMG The Cookies Boutique turut merancang kempen pemasaran berskala besar bersempena musim perayaan, termasuk kerjasama di lebuh raya utama seperti PLUS, LPT dan ELITE, membabitkan 14 lokasi strategik.

Kempen yang dirancang dari Februari hingga Mac itu dijangka disertakan dengan elemen promosi berkonsepkan pulang beraya, dengan tawaran hadiah bernilai keseluruhan melebihi RM200,000, tertakluk kepada kelulusan dan nasihat agensi berkaitan.

Dengan sasaran pasaran domestik dan antarabangsa, serta perancangan strategik yang merangkumi musim perayaan, pelancongan dan kolaborasi industri, penubuhan DMG The Cookies Boutique dijangka menjadi langkah penting dalam mengangkat jenama tempatan ke tahap lebih tinggi, sekali gus membuktikan biskut buatan Malaysia mampu bersaing sebagai produk premium di pasaran serantau.

ARTIKEL BERKAITAN

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Popular