editormaxinfo@gmail.com
KUALA LUMPUR – Penyanyi dan penulis lagu muda dari London, Sienna Spiro, terus mencuri tumpuan industri muzik global apabila single terbaharunya, Die On This Hill, mencetuskan fenomena luar biasa di Malaysia.
Dikenali dengan vokal soulful yang penuh emosi serta lirik yang jujur, Sienna kini semakin kukuh digelar sebagai “New Adele” Generasi Z oleh peminat di seluruh dunia.
Dalam tempoh setahun kebelakangan ini, Sienna Spiro membuktikan dirinya sebagai antara bakat paling menjanjikan dengan pelbagai pencapaian membanggakan.
Beliau telah dipilih sebagai Vevo DSCVR Artists to Watch 2026, selain mendapat perhatian meluas menerusi EP sulungnya, Sink Now, Swim Later, yang dilancarkan pada awal 2025.
EP berkenaan menampilkan lagu seperti Origami, Back To Blonde dan Need Me, yang menerima sokongan awal daripada artis antarabangsa ternama termasuk SZA, Mark Ronson dan FINNEAS.

Nama Sienna semakin melonjak selepas lagu hitnya, Maybe., mencatat lebih 125 juta penstriman global serta pernah menduduki carta viral Spotify di empat negara.
Kejayaannya turut diserlahkan menerusi penampilan sulung di rancangan televisyen terkenal The Late Show with Stephen Colbert, selain menyertai jelajah musim panas penyanyi multi-platinum Teddy Swims dan menjadi artis pembuka tirai kepada Sam Smith dalam residensi eksklusif To Be Free: New York City di Brooklyn.
Di Malaysia, kehadiran Sienna Spiro semakin dirasai menerusi Die On This Hill, single terbitan Capitol Records yang menerima sambutan luar biasa daripada peminat tempatan.
Lagu terbabit berjaya menembusi kedudukan ke-12 Spotify Top 50 Malaysia serta #41 Spotify Top 50 Global, sekali gus membuktikan daya tarikan Sienna bukan sahaja di peringkat antarabangsa, malah semakin kuat di pasaran Asia Tenggara, khususnya Malaysia.
Populariti Die On This Hill turut disokong oleh gelombang kandungan kreatif di media sosial.
Video cover dan interpretasi lagu ini tular di Instagram dan TikTok, dikongsi oleh artis tempatan seperti Yazmin Aziz dan Julia Duclos, selain mendapat sokongan Key Opinion Leaders (KOL) termasuk Elica Paujin dan Cici.
Fenomena ini menjadikan Die On This Hill antara balada antarabangsa paling tular di TikTok Malaysia ketika ini, sekaligus mengukuhkan kedudukan Sienna dalam kalangan pendengar muda tempatan.
Impak lagu ini turut diperluaskan melalui perkongsian kreatif daripada selebriti tempatan seperti Siti Hariesa dan Diana Danielle, yang masing-masing menampilkan interpretasi tersendiri terhadap lagu tersebut. Sokongan ini secara tidak langsung memperkenalkan karya Sienna Spiro kepada audiens yang lebih luas di Malaysia.

Dilancarkan secara rasmi pada Oktober 2025, Die On This Hill merupakan susulan kepada single You Stole the Show yang sebelum ini menerima pujian daripada media antarabangsa seperti CLASH, yang menyifatkan Sienna sebagai “bona fide breakout talent”.
Dalam lagu terbaharu ini, artis berusia 20 tahun itu sekali lagi menyerlahkan keupayaannya menterjemahkan kisah patah hati ke dalam karya yang sarat dengan emosi mendalam.
Menurut Sienna, Die On This Hill mengisahkan tentang “cinta yang degil, cinta yang membuatkan seseorang terus bertahan walaupun mereka sedar sepatutnya melepaskan”.
Lagu ini dihasilkan bersama barisan penerbit bertaraf dunia seperti Omer Fedi, Michael Pollack dan Blake Slatkin, serta diperkayakan dengan susunan orkestra oleh pemenang tiga Anugerah GRAMMY®, Rob Moose.
Gabungan produksi berkualiti tinggi dan vokal emosional menjadikan Die On This Hill sebagai bukti kematangan artistik Sienna Spiro.
Dengan sambutan hangat di Malaysia dan pencapaian global yang konsisten, Sienna kini semakin diiktiraf sebagai salah satu suara baharu paling berpengaruh dalam landskap muzik antarabangsa hari ini.

