editormaxinfo@gmail.com
KUALA LUMPUR – Minyak sawit terus mengukuhkan kedudukannya sebagai minyak makan paling penting dan mampu milik dalam rantaian bekalan global, sekali gus memainkan peranan besar dalam keselamatan makanan, penyediaan pekerjaan serta pembangunan ekonomi negara-negara pengeluar.
Penganalisis Kanan Fastmarkets Palm Oil Analytics Singapura, Dr. Sathia Varqa, berkata minyak sawit kini merangkumi sepertiga penggunaan minyak makan dunia, mengatasi minyak soya, bunga matahari dan biji sesawi dalam pasaran global.
Menurutnya, daya saing harga serta kestabilan bekalan menjadikan minyak sawit pilihan utama jutaan pengguna di seluruh dunia.
“Minyak sawit amat berdaya saing dan mampu milik. Ia membantu mengimbangi kenaikan harga makanan dan kekal sebagai sumber minyak makan stabil untuk pengguna global,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ceramah bertajuk “Harapan Pasaran Minyak Sawit dan Laurik 2026” sempena Kongres dan Pameran Antarabangsa Minyak Sawit MPOB (PIPOC 2025) anjuran Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC).
Dr. Sathia berkata, minyak sawit bukan sekadar komoditi makanan, tetapi turut menjadi sumber pendapatan utama jutaan pekebun kecil di Malaysia, Indonesia dan negara pengeluar lain.
Selain itu, minyak sawit juga semakin penting dalam dasar tenaga mampan, khususnya dalam pengeluaran dan penggunaan biodiesel.
Menurutnya, penggunaan biobahan api berasaskan sawit yang kini sekitar 10 peratus, berpotensi meningkat sehingga 25 peratus pada tahun depan, selaras dengan sasaran negara-negara pengeluar yang mahu memperluas peralihan kepada tenaga hijau.
“Kemampuan minyak sawit mengurangkan pelepasan karbon menjadikannya komponen penting dalam pembangunan biodiesel, termasuk program B20 yang dilaksanakan Malaysia,” katanya.
Bagaimanapun, beliau mengingatkan bahawa perubahan iklim terus menjadi cabaran kepada semua komoditi pertanian.

Walaupun pokok sawit lebih tahan dan cepat pulih daripada cuaca ekstrem berbanding tanaman soya dan bunga matahari, impaknya tetap perlu diberi perhatian.
Dalam konteks Malaysia, Dr. Sathia mengakui terdapat beberapa isu domestik yang perlu ditangani segera termasuk pokok sawit tua, produktiviti rendah, kekurangan tenaga kerja, serta proses mekanisasi yang masih perlahan.
Beliau turut menekankan wujudnya jurang besar antara prestasi estet besar dan ladang pekebun kecil.
“Masalah ini tidak akan selesai menjelang 2026. Malaysia memerlukan pelan jangka pendek, sederhana dan panjang yang merangkumi galakan penanaman semula, automasi dan inovasi teknologi,” katanya.
Dalam pada itu, beliau berpandangan Malaysia kini berada pada kedudukan yang sangat strategik untuk menarik pelaburan baharu, khususnya berikutan ketidaktentuan dasar tanah dan peningkatan risiko peraturan di Indonesia.
“Kelebihan Malaysia ialah kestabilan. Pelabur mahukan kepastian daripada segi hak pemilikan tanah, peraturan jelas dan pengawalseliaan yang teratur. Inilah masa paling sesuai untuk Malaysia menarik lebih banyak pelaburan,” katanya.

