27.1 C
Kuala Lumpur
Wednesday, November 26, 2025

Minum kopi berlebihan jejas jantung dan buah pinggang – Dr Afif

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR – Minum kopi sudah menjadi rutin harian ramai rakyat Malaysia, malah ada yang menganggapnya sebagai “teman setia” sejak bangun tidur hingga ke penghujung hari.

Tiada salahnya menikmati secawan kopi untuk meningkatkan tenaga dan kekal fokus ketika bekerja.

Namun, menurut pakar kesihatan, setiap individu perlu mengetahui had selamat pengambilan kafein bagi mengelakkan risiko kesihatan yang serius.

Menurut Dr Afif Mohd Ridzwan, kopi mengandungi kafein iaitu bahan perangsang semula jadi yang memberi kesan langsung kepada sistem saraf manusia.

Katanya, pengambilan kafein dalam jumlah terkawal sememangnya bermanfaat, tetapi dos berlebihan boleh mendatangkan mudarat.

Beliau menjelaskan had maksimum kafein yang disarankan untuk dewasa ialah 400 miligram (mg) sehari, bersamaan kira-kira dua hingga tiga gelas kopi.

 Jumlah ini mengambil kira purata kandungan kafein 100 hingga 200 mg bagi setiap gelas kopi, bergantung kepada jenis bancuhan.

Dr Afif, yang juga Ketua Pegawai Eksekutif Pusat Rawatan Al Farhain, turut berkongsi pengalamannya mendengar seorang pendengar radio mengaku meminum sehingga 15 gelas kopi sehari.

Angka itu bersamaan hampir 1,500 mg kafein, iaitu hampir empat kali ganda lebih tinggi daripada had selamat harian.

Menurutnya, jumlah kafein yang terlalu tinggi setiap hari untuk tempoh yang panjang boleh meningkatkan risiko penyakit kronik akibat tekanan berlebihan terhadap organ dalaman.

“Antara kesan negatif pengambilan kafein berlebihan termasuklah tekanan darah meningkat, degupan jantung menjadi laju serta jantung terpaksa bekerja lebih kuat daripada kebiasaan.

“Lebihan kafein juga boleh mempengaruhi fungsi buah pinggang apabila salur darah mengembang secara mendadak, menyebabkan aliran darah terlalu laju sehingga organ terbabit tidak mampu menapis dengan stabil,” katanya.

Katanya, keadaan ini, boleh menyebabkan kebocoran atau kerosakan buah pinggang dalam jangka panjang.

Selain itu, individu yang mengambil terlalu banyak kafein turut berisiko mengalami gastrik, refluks asid dan gangguan tidur.

Dr Afif berkata, pengambilan kopi dibuat dengan lebih berhati-hati terutamanya bagi golongan berisiko seperti pesakit darah tinggi, mereka yang mempunyai masalah jantung, individu yang mengalami gastrik, wanita hamil serta mereka yang sensitif terhadap kafein.

“Golongan ini digalakkan menghadkan jumlah kafein atau mengambilnya di bawah pemantauan doktor.

“Kopi tidak harus dianggap sebagai minuman berbahaya secara keseluruhan. Kopi mempunyai banyak manfaat seperti meningkatkan metabolisme, membantu fokus serta kaya dengan antioksidan yang baik untuk tubuh.

“Dos menentukan sama ada kopi memberi manfaat atau mudarat,” katanya.

Beliau menasihatkan orang ramai supaya mengamalkan pengambilan kopi secara sederhana bagi mengelakkan komplikasi kesihatan di kemudian hari.

“Lebih baik kita mencegah daripada terpaksa berulang-alik ke hospital suatu hari nanti hanya kerana kafein yang diambil secara berlebihan,” katanya.

ARTIKEL BERKAITAN

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Popular