editormaxinfo@gmail.com
KUALA LUMPUR – Anugerah Industri Muzik Ke-24 (AIM24), yang dikuasakan oleh Samsung Galaxy A56 dan A36 5G serta mendapat sokongan penuh daripada Kementerian Komunikasi, kini memasuki fasa paling dinantikan apabila Persatuan Industri Rakaman Malaysia (RIM) mengumumkan senarai lima finalis bagi 26 kategori yang dipertandingkan tahun ini.
Pengerusi RIM merangkap Pengerusi Jawatankuasa Penganjur AIM24, Rosmin Hashim berkata, sebanyak 130 pencalonan telah berjaya menempatkan diri dalam kelompok lima terbaik merentasi semua kategori utama.
Katanya, pemilihan dilakukan melalui proses penjurian telus dan profesional oleh panel juri yang berkelayakan, dengan pemarkahan diaudit oleh firma pengauditan bertauliah Mazars, manakala pengurusan penjurian dikendalikan oleh badan bebas Macomm Management Services Sdn. Bhd.

“Apa yang menjadikan edisi kali ini lebih istimewa ialah suntikan dana berjumlah RM700,000 yang diperuntukkan menerusi Dana Kandungan Kreatif (DKK) oleh Kementerian Komunikasi melalui MyCreative Ventures (MyCV), bagi menyokong penghasilan kandungan muzik berkualiti tinggi oleh pemenang terpilih.
“Sebanyak 11 kategori utama akan menerima ganjaran dana, termasuk kategori Album Terbaik yang bakal membawa pulang dana sebanyak RM200,000,” katanya.
Manakala sepuluh kategori lain, termasuk Artis Baru Terbaik, Lagu Etnik Terbaik, Lagu Tradisional Terbaik, Lagu Perpaduan Terbaik, Lagu Nasyid Terbaik, Lagu Cina Tempatan Terbaik, Lagu India Tempatan Terbaik, Lagu Inggeris Tempatan Terbaik, Lagu Terbaik, serta Video Muzik Terbaik, masing-masing akan menerima dana sebanyak RM50,000.
Rosmin turut menyuarakan keterujaannya terhadap senarai finalis yang diumumkan, yang menurutnya merangkumi gabungan mantap antara artis-artis ternama dan bakat-bakat baharu yang semakin menyerlah di persada muzik tanah air.

“Saya percaya dengan sokongan dana kreatif berkenaan, pemenang bukan sahaja mampu memperkukuh kedudukan di pasaran tempatan, malah berpotensi melebarkan sayap ke peringkat antarabangsa,” katanya.
Majlis pengumuman itu turut dihadiri beberapa tokoh penting industri dan wakil penaja, termasuk Ketua Pengarah Penyiaran Malaysia, Datuk Suhaimi Sulaiman; Ketua Penolong Setiausaha, Bahagian Pembangunan Kandungan Kementerian Komunikasi, Noreen Iszani Yusak; Ketua Bahagian Jenama, Media dan Pemasaran Digital Samsung Malaysia Electronics, Agnes Wong; serta Pengurus Media Samsung Malaysia, Dinie Zulfadhli.
Hadir sama ialah Ketua Pegawai Eksekutif RIM, Caren Lau, serta barisan ahli lembaga pengarah RIM dan finalis AIM24.

AIM24 menerima sebanyak 682 pencalonan bagi karya muzik yang diterbitkan dalam tempoh kelayakan antara 1 Julai 2022 hingga 31 Disember 2024.
Proses penjurian fasa pertama dimulakan pada 14 dan 15 Julai lalu bagi kategori teknikal seperti Rakaman Lagu Terbaik dan Rakaman Album Terbaik di Timeless Studio, disusuli sesi penjurian kategori lain di Hotel Majestic Kuala Lumpur dari 21 hingga 23 Julai.
Kategori berprestij Lagu Terbaik pula dinilai pada 29 Julai 2025, turut berlangsung di Timeless Studio.
Panel juri AIM24 terdiri daripada profesional berpengalaman luas dalam industri muzik, termasuk komposer, penulis lirik, penyanyi, penerbit, pemuzik, pengarah video, guru vokal, jurutera rakaman, pereka grafik, jurufoto dan perunding imej.

Penjurian diketuai oleh Pengarah Muzik tersohor, Datuk Mokhzani Ismail selaku Ketua Juri.
Malam kemuncak AIM24 bakal berlangsung dengan penuh gemilang di Arena of Stars, Genting Highlands, Pahang pada Sabtu, 13 September 2025 bermula jam 9 malam, dengan siaran langsung dibawakan oleh RTM selaku penyiar rasmi melalui saluran TV2 dan platform RTM Klik. Acara karpet merah akan berlangsung seawal jam 8 malam.
Sebanyak 30 kategori keseluruhan akan dipertandingkan pada AIM24, termasuk empat kategori baharu yang diperkenalkan buat julung kali, iaitu Lagu Tradisional Terbaik, Lagu Perpaduan Terbaik, Kolaborasi Artis Tempatan Bersama Artis/Komposer Luar Negara Terbaik serta Kugiran Terbaik.
Daripada jumlah ini, enam kategori akan diumumkan lebih awal melalui Majlis Pra-Anugerah pada 12 September, antaranya Kulit Single/Album Terbaik, Rakaman Lagu Terbaik, Rakaman Album Terbaik, Susunan Muzik Terbaik Dalam Lagu, Lagu Paling Tinggi Distrim, dan Video Muzik Rasmi Paling Tinggi Ditonton di YouTube.

Selain Samsung Galaxy A56 dan A36 5G serta Kementerian Komunikasi sebagai penyokong utama, AIM24 turut mendapat tajaan daripada Resorts World Genting sebagai Lokasi Rasmi acara.
Beberapa rakan strategik turut bersama menjayakan edisi kali ini, termasuk Premiera Hotel Kuala Lumpur, F&N Beverages & Marketing, RCD Concept Sdn. Bhd., serta Timeless Studio.
Anugerah Industri Muzik telah mula dianjurkan sejak tahun 1993, di mana lagu “Dekat Padamu” nyanyian Ning Baizura pernah memenangi kategori Album Terbaik, manakala lagu ikonik “Satu” nyanyian Tan Sri SM Salim dan Datuk Zainalabidin diumumkan sebagai Lagu Terbaik.


https://shorturl.fm/p5CQW
https://shorturl.fm/3EsbZ