25.8 C
Kuala Lumpur
Friday, March 13, 2026

Pramugara khayal dan berbogel dalam tandas pesawat cetus kejutan

editormaxinfo@gmail.com

LONDON –  Sebuah penerbangan komersial British Airways dari San Francisco ke London pada 25 Mei lalu digemparkan dengan insiden luar jangka apabila seorang pramugara lelaki didapati menari dalam keadaan berbogel di dalam tandas pesawat ketika berada di udara.

Insiden memalukan itu berlaku di bahagian kelas perniagaan pesawat Airbus A380-800 yang sedang terbang pada ketinggian kira-kira 11,200 meter, sekaligus mencetuskan kekecohan dalam kalangan kru dan penumpang.

Menurut laporan akhbar The Sun, pramugara terbabit yang berusia 41 tahun dikatakan sedang bertugas menghidangkan makanan kepada penumpang sebelum dia tiba-tiba ‘hilang’ tanpa dikesan.

Tidak lama selepas itu, dia ditemui dalam keadaan bogel dan dipercayai khayal di dalam tandas bahagian Club World, seolah-olah sedang menari di sebuah kelab malam.

Seorang kru penerbangan yang bertugas bersama pada hari kejadian memaklumkan kepada media mereka percaya individu berkenaan mungkin telah mengambil bahan terlarang ketika sedang bekerja.

Menurutnya, tekanan kerja dalam sektor penerbangan kadangkala boleh mengganggu kestabilan emosi dan mental seseorang, namun insiden sedemikian adalah sesuatu yang tidak pernah dijangka.

“Kerja ini sebenarnya boleh buat orang hilang akal. Tetapi, menari seorang diri macam dalam kelab malam di tandas Club World adalah pengalaman pertama buat saya,” kata kru itu seperti yang dilaporkan oleh The Sun.

Krew bertugas kemudiannya mengambil tindakan segera dengan memakaikan pramugara terbabit baju tidur serta menempatkannya di tempat duduk dengan tali pinggang keledar dipasang, bagi memastikan keselamatan semua penumpang terjamin sehingga pesawat selamat mendarat.

Setibanya pesawat di Lapangan Terbang Heathrow, London, lelaki terbabit telah diiring keluar dari pesawat oleh pihak berkuasa dan terus dibawa ke hospital untuk menjalani pemeriksaan serta rawatan lanjut.

Pihak Polis Metropolitan dalam kenyataan mereka memaklumkan lelaki itu telah dibebaskan sementara siasatan menyeluruh berhubung insiden itu sedang dijalankan.

Kejadian ini sekali lagi menimbulkan persoalan mengenai tahap pemantauan kesihatan mental dan disiplin dalam kalangan kru penerbangan, terutamanya dalam persekitaran kerja yang mencabar dan menuntut tahap profesionalisme yang tinggi.

Pihak British Airways setakat ini masih belum mengeluarkan kenyataan rasmi berhubung tindakan lanjut terhadap kakitangan berkenaan. -Agensi

ARTIKEL BERKAITAN

Popular