editormaxinfo@gmail.com
KUALA LUMPUR – Astro kembali mempersembahkan Gempak Most Wanted Awards (GMWA) 2024 dengan pengumuman calon Top 5, yang diadakan baru-baru ini.
Edisi kali ini menampilkan tema ‘Flex Your Art’, yang memberi ruang kepada setiap pencipta kandungan digital untuk menonjolkan kreativiti mereka melalui pelbagai medium.
GMWA 2024 merangkumi 11 kategori utama termasuk Selebriti Tergempak, Program Digital Tergempak, Digital Creator Tergempak dalam pelbagai genre seperti Lifestyle, Foodie, dan Motivation & Education.

Selain itu, tahun ini juga diperkenalkan anugerah Keluang Man of the Year untuk individu yang memberi impak positif dalam komuniti, dan anugerah utama Gempak Most Wanted 2024 bagi calon yang mendapat undian tertinggi secara keseluruhan.
Antara nama besar yang tercalon dalam Top 5 adalah penyanyi Aina Abdul, yang kembali mendominasi persaingan dalam tiga kategori utama: Lagu/Audio Tergempak melalui lagu Cinta Tak Pernah Tepat Waktu (bersama Fabio Asher), Program Digital Tergempak melalui Confession Bilik Gelap, dan Video Muzik Tergempak melalui Puas Sudah.
Selain itu, pemenang anugerah utama 2023, Anna Jobling, turut tercalon dalam kategori Selebriti Digital Tergempak bersama Amir Ahnaf, Meerqeen, Erysha Emyra, dan Scha Elinnea.

Kategori baharu seperti Digital Creator (Beauty & Fashion) Tergempak turut memaparkan calon-calon ternama seperti Sofea Shra, Hawa Johanis, Malia Baby, Agy, dan Yana Hassan yang semakin mencuri perhatian ramai di media sosial.
Ketua Content Studio, Astro, Syazwan Zakariah berkata, peningkatan undian yang luar biasa tahun ini mencerminkan sokongan serta minat mendalam rakyat Malaysia terhadap GMWA.
“Kami sangat berbesar hati dengan pencapaian ini dan teruja untuk membawa edisi 2024 ke tahap yang lebih gemilang,” katanya.

Malam anugerah yang dinanti-nantikan ini juga akan dimeriahkan dengan persembahan daripada artis-artis ternama seperti Zizan Razak, Ernie Zakri, Hael Husaini, Amir Masdi, Ara Johari, Nadeera Zaini, Mimi Fly, dan Insomniacks.
Selain itu, pengunjung bakal disajikan dengan kejutan persembahan daripada seorang diva terkemuka, sebuah band popular, serta bintang dari luar negara.
Gempak Most Wanted Awards 2024 akan berlangsung pada 23 Februari 2025.
Untuk undian fasa kedua, peminat boleh mengundi pemenang utama bagi setiap kategori di laman rasmi www.gempakmostwantedawards.com mulai 15 Januari 2025, jam 6 petang hingga 23 Februari 2025, jam 12 tengah hari.
Saksikan malam bersejarah ini yang bakal memberi penghargaan kepada karya-karya terbaik dunia digital Malaysia.

