Mata bundar yang cantik berkaca, memandang tepat. Jatuhnya, terus turun ke hati. Dia pernah menjadi salah satu bahagia itu. Mulanya dengan hanya santapan sederhana, sebuah hubungan terjalin lebih sedekad.
Awalnya hanya biasa-biasa. Sekali sekala bertegur sapa. Kadang-kadang meluah rasa. Jarang-jarang menghabiskan masa bersama. Tetapi keserasian ternyata bersatu dengan begitu sahaja. Hikayat Dia bermula. Tiada sehari tanpa kata-kata. Walau sekadar emoji, itulah pengganti bicara.
Dia terpana bukan kerana keindahan rupa parasnya. Dia terpukau kerana tutur kata, kerendahan hati dan molek pekerti. Sopannya begitu menggoda. Membuatkan darah Dia deras teruja. Orangnya kurang berkata, tapi lagaknya ketawa ceria. Senyuman yang selalu mempersona. Dia rela menggelarnya ‘Nyawa’. Itulah kali pertama.
Semakin lama semakin mesra. Pernah seketika, senyuman sentiasa terukir tanpa menggunakan bahasa ibunda. Bagi Dia, dunia itu Dialah yang punya. Begitulah indahnya bahagia tercipta. Yang dulunya Dia kurang yakin dan kurang percaya. Sang Peminjam meminjamkan rasa. Dia bersyukur tidak terkira.
Mencuba memberikan yang terbaik, Dia selalu berkata.. ” semampu dan seadanya..”. Dia sentiasa bertindak seperti lilin, yang rela membakar diri agar terus menerangi. Dia sentiasa berada ditempatnya. Tidak pernah meminta-minta. Bersedia apa saja. Bersedia menjalani kepayahan dan gundah gulana bersama. Nawaitu Dia satu, agar Nyawa rasa dihargai. Bukan sekadar perhiasan lalu ditolak tepi.
Tetapi itulah, bukan semua manusia dipinjamkan ‘rasa’ itu. Walau pengakhirannya tidak seia sekata, nikmat dan hikmahnya tetap ada. Segala aturan bukanlah sia-sia. Kerana setiap hari Dia melalui proses pembelajaran di universiti kehidupan. Yang tiada titik, tiada penamatnya. Dan Dia masih bertahan. Tiada berputus asa.

