28.8 C
Kuala Lumpur
Monday, May 25, 2026
Home Blog Page 257

Graduan bersifat global tingkat imej IPT negara

editormaxinfo@gmail.com

SEPANG – Institusi pendidikan tinggi (IPT) tempatan disaran melahirkan graduan bersifat global yang secara tidak langsung mampu meningkatkan imej serta kualiti pendidikan tinggi negara.

Ketua Pegawai Eksekutif Agensi Kelayakan Malaysia (MQA), Prof Datuk Dr Mohammad Shatar Sabran berkata, IPT perlu memastikan graduan tempatan mempunyai ciri-ciri yang berupaya menembusi pasaran kerja antarabangsa.

Katanya, pihak IPT perlu memikirkan strategi bagi melahirkan graduan yang menjadi dambaan majikan dalam usaha meningkatkan peratusan graduan memperoleh ‘gaji premium’ seperti yang dihasratkan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin yang disampaikan dalam ucapannya bersempena Persidangan Pasaran Kerja Graduan 2023.

“Dalam usaha ini, graduan perlu mempunyai ‘pakej’ tertentu supaya diterima majikan sama ada dari syarikat multinasional di Malaysia mahupun yang berpangkalan di luar negara.

“Antara kriteria itu termasuk mempunyai daya pemikiran kritis, berkarakter global, sifat kepemimpinan tinggi, boleh bekerja dalam satu pasukan serta nilai tambah dalam aspek kemahiran insaniah,” katanya.

Mohammad Shatar berkata, penguasaan bahasa asing dan kompetensi silang budaya menjadi elemen penting dalam melahirkan graduan global kerana kemahiran itu sangat diperlukan lebih-lebih lagi apabila graduan ingin bekerja di luar negara.

Katanya, perkara itu signifikan kerana boleh dijadikan sebagai indikator dalam usaha mempromosikan institusi masing-masing di persada nasional dan antarabangsa.

“Bayangkan sekiranya IPT tempatan mempunyai definisi kualiti sedemikian tanpa meletakkan agenda penarafan universiti sebagai fokus paling utama, sebaliknya memberi tumpuan kepada kualiti graduan dikeluarkan, selain hasil penyelidikan yang memberi impak kepada masyarakat dan negara.

“Pastinya dunia akan datang ke Malaysia untuk merujuk kita sebagai negara yang melahirkan graduan berkualiti seterusnya memberi impak kepada nama baik IPT tempatan.

“Jika persepsi ini dapat ini diubah pastinya akan membantu merealisasikan agenda Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) untuk menjadikan Malaysia sebagai hab bakat dan pengetahuan atau pusat ilmu sejagat,” katanya. 

Filem seram Islamik pertama Thailand, Khong-Khaek: The Djinn’s Curse temui penonton esok

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR – Thailand memang tidak asing lagi dengan penghasilan filem-filem seram yang bermutu dan mendebarkan sehingga turut diminati oleh peminat filem seram di Malaysia.

Khong-Khaek: The Djinn’s Curse membawa kelainan besar apabila menjadi filem seram Islamik pertama negara itu, malah filem ini mencipta sejarah tersendiri apabila berjaya meraih kutipan box office sejak ditayangkan di Thailand 28 September lalu.

Apa yang menarik, filem itu turut tular dan menjadi sebutan di Malaysia, malah trailer rasminya sahaja sudah meraih jumlah 3 juta tontonan menerusi akaun TikTok @sukafilem.

Bagi tidak mengecewakan peminat filem seram di Malaysia, Yusrych Global Sdn Bhd membawakan filem terbitan M Thirty Nine Co Ltd dan Monwichit Entertainment ini ke pawagam seluruh Malaysia bermula esok.

Pengasas Yusrych Global Sdn Bhd, Yusry Makmor berkata, pihaknya berminat membawa masuk filem ini untuk tayangan di Malaysia apabila menyedari trailer rasminya menjadi viral sehingga tiga juta tontonan dan diperkatakan orang ramai di media sosial.

“Saya percaya filem ini akan pecah panggung apabila ditayangkan di Malaysia, tambahan pula kutipan di Thailand sangat memberangsangkan iaitu sebanyak RM6 juta dalam tempoh 11 hari tayangan.

“Jika melihat pada komen pula, rata-ratanya ramai yang teruja nak menontonnya dan tertanya-tanya bila akan tayang di Malaysia. Akhirnya terjawab apabila filem ini akan ditayangkan bermula esok,” katanya.

Yusry berkata, dia ada bertanya beberapa kenalan dalam industri tentang filem ini dan mereka menyarankan supaya dia membawa masuk untuk tayangan di Malaysia.

Sebelum ini, Yusrych Global Sdn Bhd bertindak sebagai penerbit dan edaran bersama untuk filem Anwar The Untold Story dan Khong-Khaek: The Djinn’s Curse menjadi filem kedua edaran syarikat berkenaan.

Sementara itu, pengarah filem ini, Kriangkrai Monvichit berkata, idea untuk menghasilkan filem ini tercetus selepas isterinya yang suka menulis skrip bersendirian mengadu yang dia sering terdengar bunyi yang aneh dan berasa bulu romanya meremang secara tiba-tiba sehingga dia terpaksa menghentikan hasrat untuk terus menulis.

Hasil dari perbualan itu pasangan berkenaan sepakat untuk menghasilkan sebuah filem seram dan akhirnya terhasil skrip filem Khong-Khaek: The Djinn’s Curse.

Filem ini dibarisi oleh pelakon hebat Thailand seperti Golf-Akara Lucas, Tubtim-Anyarin Terathananpat, Mo-Amena Pinit, Marika Phraekhieocharoen, Piyarat Jatupong, Thiti Phoom-on, Sontana Chitmanee, Hakeem Dhanawicit dan Ahmad Kasemiyah Dolah.

Kriangkrai berkata, mereka mengangkat tema berkaitan jin untuk filem ini kerana mahu penonton lebih memahami kesan dan akibat buruk apabila manusia meminta pertolongan ataupun bersekongkol dengan jin.

Kriangkrai juga tidak menafikan terdapat beberapa kejadian seram dan pelik sepanjang penggambaran dilakukan.

“Ada pelakon yang mengalami gangguan, misalnya ketika pelakon utamanya, Golf berbaring, dia merasakan seperti ada orang berbaring di sebelahnya tetapi apabila dia menoleh, tiada di situ.

“Selain itu, ada seorang lagi pelakon iaitu Lee Ping dan beberapa orang kru ternampak suatu kelibat yang pelik sehingga mereka tidak mahu meneruskan penggambaran,” katanya.

Berkongsi harapannya apabila filem ini ditayangkan di Malaysia, sebagai pengarah pastinya Kriangkrai berharap filem itu mendapat sambutan hangat penonton.

“Dari sudut agama dan budaya, memang tidak jauh berbeza dengan Malaysia. Apatah lagi kisah yang dipaparkan adalah tentang masyarakat di Selatan Thailand.

“Oleh itu, saya berharap penonton Malaysia tidak melepaskan peluang untuk menonton filem ini nanti,” katanya lagi.

Tidak sihat, konsert Anuar Zain berjalan sempurna

editormaxinfo@gmail.com

Foto Anuar Zain Network & Jiobuddy

SHAH ALAM – Meskipun terpaksa menyedut nebulizer ketika di pentas, namun ia sedikitpun tidak mencacatkan persembahan Anuar Zain pada konsertnya Anuar Zain 40th Anniversary (AZ40).

Konsert yang berlangsung di Stadium Malawati, Shah Alam pada Sabtu lalu itu menyaksikan lebih 8,000 penonton hadir memberikan sokongan kepada penyanyi berusia 53 tahun itu.

Beberapa kali menyedut nebulizer bermula segmen kedua konsert itu, Anuar akur untuk melakukannya bagi memastikan suaranya tidak terus hilang.

“Rasanya tidak pernah dibuat orang, terpaksa sedut nebulizer ketika menyanyi, tetapi saya beritahu diri sendiri, apa pun terjadi persembahan perlu diteruskan.

“Sebenarnya saya demam dan kemudian batuk seminggu lalu, selepas itu suara saya hilang untuk tiga hari.

“Penyanyi latar saya, Jad Lobo yang cadangkan saya untuk jumpa seorang doktor. Doktor itu bantu saya dan Alhamdulillah suara saya kembali ada berbanding tiga hari lalu,” katanya ketika ditemui selsai selesai konsert berkenaan.

Anuar berkata, dia mengakui kecewa dengan situasi tidak dijangka itu,  namun kehadiran penonton yang memenuhi segenap stadium pada malam itu memberi semangat buatnya.

Tidak ketinggalan hadir memberi sokongan ialah Tengku Permaisuri Selangor Tengku Permaisuri Norashikin serta beberapa rakan artis antaranya Datuk Sheila Majid, Datuk Syafinaz Selamat, Misha Omar, Rozita Che Wan, Syamel,  Ernie Zakri dan Ziana Zain.

“Saya akui kecewa kerana ada lagu yang  tidak sampai untuk dinyanyikan malah ada yang saya tak dapat buat pada konsert, tetapi saya percaya apa yang berlaku ada sebabnya.

“Saya cuba lakukan yang terbaik. Susunan muzik pun yang asal, saya tak buat apa-apa perubahan,” katanya.

Anuar berkata, dia juga tidak menolak jika diberi peluang  membuat konsert sama di Singapura dalam masa terdekat ini.

Pada konsert yang berlangsung hampir tiga jam itu, Anuar menghiburkan peminat dengan seleksi lagu popularnya seperti Sesucinya Cintamu, Jangan Bersedih Lagi, Bila Resah, Mungkin, Ketulusan Hati, Ajari Aku, Perpisahan, Sedetik Lebih, Keabadian Cinta dan Lelaki Ini.

Dalam pada keasyikkan menghiburkan peminat setianya, Anuar Zain itu mengakui sebak mengenangkan kekejaman Israel terhadap rakyat Palestin yang berlaku ketika ini.

Sebelum konsert bermula, Anuar sempat meminta kesemua yang hadir untuk sedekahkan Al-Fatihah buat mereka yang telah syahid.

Biarpun tetap mengadakan konsert tatkala perhatian kini tertumpu di bumi Gaza, Anuar berkata, timbul kebimbangan seandainya keputusannya itu menjadi pertikaian.

“Memang timbul kebimbangan untuk meneruskan konsert, tetapi saya sedaya upaya menunjukkan kasih sayang, belas ihsan dan simpati terhadap rakyat Palestin pada awal konsert lagi.

“Mungkin saya tidak tunjukkan kesedihan secara terbuka, tapi saya sangat sensitif dengan apa yang mereka lalui,” katanya.

TikTok, Snapchat ikrar tangani imej penderaan seks kanak-kanak AI

editormaxinfo@gmail.com

LONDON – TikTok, Snapchat dan Stability AI menandatangani kenyataan bersama dan berikrar untuk bekerjasama menentang imej penderaan seks kanak-kanak yang dihasilkan oleh kecerdasan buatan (AI).

Britain mengumumkan kenyataan bersama itu yang turut menyenaraikan kerajaan Amerika Syarikat (AS), Jerman dan Australia antara 27 pihak berkerjasama pada satu acara semalam yang diadakan menjelang sidang kemuncak global, dihoskan oleh United Kingdom (UK) mengenai keselamatan AI minggu ini.

“Kami berazam untuk mengekalkan dialog dan inovasi teknikal dalam menangani penderaan seksual kanak-kanak pada zaman AI.

“Kami berazam untuk bekerjasama bagi memastikan kami menggunakan AI yang bertanggungjawab untuk menangani ancaman penderaan seksual kanak-kanak dan komited untuk terus bekerja secara kolaboratif bagi memastikan risiko yang ditimbulkan oleh AI menangani penderaan seksual kanak-kanak,” kata kenyataan itu.

Britain memetik data daripada Internet Watch Foundation menunjukkan, satu forum web gelap berkongsi hampir 3,000 imej AI yang menjana bahan penderaan seksual kanak-kanak.

“Adalah penting sekarang kami menunjukkan contoh dan menghapuskan penyalahgunaan teknologi baru muncul ini sebelum ia mempunyai peluang untuk bercambah sepenuhnya,” kata Ketua Eksekutif IWF, Susie Hargreaves. -Agensi

‘Superkids Sharing Session’ bantu ibu bapa kenal potensi anak-anak

editormaxinfo@gmail.com

CYBERJAYA – Ramai dikalangan ibu bapa yang kurang cakna akan keadaan anak-anak sejak kecil sehingga lambat mengetahui anak mereka mengalami simptom penyakit antaranya autisme.

Perlunya pendedahan sejak anak lahir supaya mudah mendapatkan rawatan segera demi tumbesaran yang lebih sihat dan terjamin.

Bagi menyampaikan lebih banyak kesedaran akan perlunya peka dengan perkembangan anak-anak, DXN menganjurkan bengkel ‘Superkids Sharing Session’.

Bertempat di DXN Cyberville Cyberjaya, bengkel yang diadakan selama empat jam itu mengupas pelbagai kisah dan pengalaman yang dikongsikan ibu bapa serta penjaga kanak-kanak dengan situasi dialami seperti pintar, autisme dan eczema.

Lebih menarik, ibu bapa dan penjaga berkongsi secara santai bagaimana mereka membesarkan anak-anak termasuk cabaran, kenangan, kekangan dan halangan mengikut keadaan masing-masing.

Sesi perkongsian itu membabitkan Yusnida, nenek kepada seorang kanak-kanak bernama Iris berusia lima tahun yang bercerita mengenai kisah cucunya dan masalah eczema.

Haryati Karim turut berkongsi perjalanan anaknya Hayyan berusia enam tahun seorang kanak-kanak autisme.

Turut berkongsi kisah ialah Siti Zaleha ibu kepada Maryam berusia 10 tahun yang dikategorikan sebagai kanak-kanak pintar.

Kesemua mereka tidak lokek, berkongsi tips pemakanan dan kesedaran dalam sentiasa meraikan serta menyokong perkembangan anak-anak.

Malah, mereka tidak menolak turut menggunakan produk keluaran DXN dalam rutin harian anak masing-masing.

Pastinya satu hal menggembirakan bagi DXN kerana membantu proses pembangunan kanak-kanak ini.

Antara produk yang digunakan ialah RG, GL dan Spirulina.

Bagi Haryati, mengetahui anak bongsunya Muhammad Hayyan Hazrel Ezriq, disahkan doktor mempunyai masalah mild autism ketika berusia tiga tahun benar-benar meruntun hati.

Namun begitu dia tidak berputus asa mendapatkan perkhidmatan dan rawatan terbaik apatah lagi begitu banyak kempen kesedaran mengenai autism sejak akhir-akhir ini, melegakan hatinya.

“Tipulah saya dan suami tidak bersedih, tetapi seminggu sahaja. Selepas itu kami terus mengatur apakah tindakan yang harus diambil.

“Mengikut saranan doktor saya terus melakukan terapi pertuturan dan terapi cara kerja kerana ketika Hayyan berusia tiga tahun dia langsung tidak bercakap sebaliknya hanya menunjuk jika inginkan sesuatu.

“Hayyan juga tidak mempunya ‘eye contact’ jika kita bercakap dengannya, tetapi dia boleh bergaul dengan rakan sebaya dengan baik,” katanya.

Selain menghantar ke terapi swasta dan kerajaan, Haryati juga menghantar anaknya ke sekolah sejak berusia tiga tahun dan kelas renang pada usia lima tahun.

“Apabila anak kita autism atau istimewa tidak kiralah apa masalah sekalipun, perlu banyak berkorban daripada segi masa dan juga wang ringgit.

“Saya tahu bukan murah untuk menghantar anak ke terapi swasta, sekolah dan aktiviti tambahan yang lain, tetapi memikirkan semua itu membantu perkembangannya saya usahakan juga.

“Tidak hanya itu, saya juga banyak mengikuti persatuan dan kumpulan sokongan anak-anak autism di Facebook dan Instagram untuk mendapatkan pelbagai maklumat dan ilmu terutama cara-cara melakukan terapi di rumah,” katanya lagi.

Yusnida Mohd Yusoff yang juga nenek kepada Iris Mikayla, 5, anak yang menghidapi masalah ekzema sejak berusia 4 bulan, mendedahkan bukan mudah untuk menjaga dan memulihkan cucu kesayangannya itu.

“Saya sudah cuba pelbagai cara dan krim dipasaran, tetapi tidak baik-baik juga. Akhirnya dengan menjaga pemakanan dan memberi supplemen seperti Spirulina dan Ganocelium (GL) keluaran DXN, kulitnya pulih,” katanya.

Supplement DXN dihasilkan dari bahan semula jadi berkualiti tinggi dan membantu gaya hidup lebih sihat. Sesetengah produk juga sangat sesuai digunakan oleh kanak-kanak.

Aina Abdul gegar Korea di ABU TV Song Festival 2023

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR – Penyanyi dan komposer, Aina Abdul mencuri tumpuan apabila terpilih mewakili negara dan turut beraksi di pentas global, ABU TV Song Festival 2023 anjuran Asia-Pacific Broadcasting Union di KBS Hall, Seoul, Korea Selatan, Ahad lalu.

Aina berjaya memukau hampir 2,000 penonton di dalam dewan menerusi lagu Terus Hidup yang pernah membawa tuah dalam karier seninya apabila dijulang sebagai Juara Lagu di Anugerah Juara Lagu (AJL) Ke-37, awal tahun ini.

Mengulas pemilihannya sebagai ‘duta kecil’ dalam acara hebat itu, Aina berkata, ia satu pengalaman berharga sepanjang lebih sedekad bergelar anak seni.

“Diberi peluang keemasan mewakili Malaysia oleh RTM untuk beraksi di pentas antarabangsa adalah satu penghormatan cukup istimewa buat saya.

“Ia bukan sahaja memberi dimensi positif kepada kerjaya seni saya, bahkan disifatkan antara salah satu pengalaman terbaik yang pernah saya kecapi sebagai penyanyi.

“Seperti yang kita tahu, industri K-Pop mempunyai reputasi global dan digilai oleh peminat seluruh dunia, manakala KBS antara platform utama yang menjadi lubuk kelahiran artis-artis ternama K-Pop.

“Mengetahui program ini turut disiarkan di saluran KBS dan persembahan saya akan ditonton oleh jutaan rakyat Korea Selatan khususnya, tidak dapat saya gambarkan betapa bermaknanya peluang yang diberikan.

“Walaupun hanya menyanyikan satu lagu sahaja, saya bangga dapat membawa nama dan budaya Malaysia di persada dunia,” katanya dalam satu kenyataan.

Tidak sekadar menimba pengalaman, malah peluang itu juga membuka ruang untuk Aina melebarkan rangkaian sosial dengan artis serantau, selain menimba ilmu bagi melengkapkan diri sebelum melebarkan sayapnya ke peringkat lebih tinggi.

“Saya rasa cukup bertuah kerana bukan sahaja dapat berkongsi pentas dengan penyanyi handalan dari rantau Asia-Pasifik, malah dapat mengutip pengalaman bekerja dengan produksi televisyen antarabangsa yang cukup berdedikasi dan profesional.

“Segala urusan berkaitan program berjalan dengan lancar dan menyeronokkan. Walaupun terdapat kekangan bahasa, namun tiada sebarang masalah kerana semuanya disusun secara terperinci dan teratur.

“KBS turut menyediakan khidmat penterjemah untuk semua peserta bagi memudahkan komunikasi,” katanya lagi.

Aina berkata, persembahannya itu menghadiahkan kenangan manis kerana ia umpama mimpi yang menjadi kenyataan.

“Kesempatan beraksi di festival itu turut melengkapi hasrat saya untuk hiburkan peminat di luar negara. Saya terharu apabila mengetahui ada antara mereka yang tinggal di luar daerah Seoul sanggup datang semata-mata ingin menonton persembahan saya secara ‘live’.

“Saya harap persembahan itu dapat mempersonakan audiens yang menonton termasuk dalam dewan dan di rumah.

“Manalah tahu, mungkin selepas menonton program ini, nama saya di Korea Selatan semakin diingati, peminat semakin bertambah dan mula mengikuti evolusi muzik Aina Abdul.

“Besar harapan saya agar menerima lebih banyak undangan untuk kembali beraksi di Korea Selatan, mungkin untuk projek kolaborasi lebih istimewa, Insya-Allah.

“Terima kasih Korea Selatan untuk pengalaman yang tidak dapat dilupakan ini. Semoga kita berjumpa lagi,” katanya.

Program Sekolah Amanah usaha gilap bakat dan potensi pelajar

editormaxinfo@gmail.com

SUBANG JAYA – Program Sekolah Amanah adalah satu kerjasama awam swasta iaitu di antara Kementerian Pendidikan Malaysia dan Yayasan AMIR yang bertujuan untuk mewujudkan model transformasi sekolah.

Sekolah Amanah boleh dijadikan contoh untuk semua sekolah awam seluruh negara sebagai wawasan jangka panjang yang strategik bagi Malaysia.

 Program ini telah dilancarkan pada 10 Disember 2010 oleh Timbalan Perdana Menteri Malaysia (TPM) Malaysia pada ketika itu.

Sekolah Amanah adalah sekolah awam (sekolah kerajaan atau bantuan kerajaan) yang diurus secara usahasama antara pihak swasta (penaja), penyedia perkhidmatan pendidikan yang berkelayakan dan pentadbir sekolah di bawah naungan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).

Rakan kongsi swasta yang dipilih bagi merintis program ini adalah Yayasan AMIR, sebuah yayasan yang ditubuhkan oleh Khazanah Nasional Berhad (KNB), yang juga salah satu penaja utama bagi program ini.

Penasihat Yayasan AMIR, Zaida Khalida Shaari berkata, setakat ini terdapat 94 buah Sekolah Amanah di Malaysia yang dipilih daripada lebih 10,000 sekolah awam mengikut pilihan penaja dan kelulusan KPM.

“Objektif utama kami ialah untuk menyokong Kementerian Pendidikan Malaysia dalam tranformasi sistem pendidikan di Malaysia tanpa mengubah silibus sedia ada. Semakin baik sistem sekolah, secara tidak langsung guru akan terlatih dan hasilnya dapat dilihat daripada kemenjadian pelajar.

“Proses ini dijalankan secara holistik dengan membangunkan kepimpinan berkualiti tinggi, menambahbaik kualiti pengajaran dan pembelajaran, memaksimumkan potensi dan pencapaian murid serta memperkukuhkan penglibatan ibu bapa, komuniti dan pihak berkepentingan lain.

“Program ini dilaksanakan dalam tempoh lima tahun bagi sesebuah sekolah dengan melihat take off value (TOV) dan bagaimana untuk mencapai sasaran yang ditetapkan dalam 5 tahun berkenaan,” katanya.

Katanya, perubahan tidak akan berlaku dalam tempoh singkat. Sekolah Amanah juga mengambil masa sehingga tiga tahun bagi menunjukkan hasil yang sangat memberangsangkan.

“Sekolah Amanah menerapkan sistem pembelajaran yang aktif, setiap pelajar berhak memberikan pandangan dan respon terhadap cara guru mengajar.

“Perubahan utama ialah tahap keyakinan murid dan bagaimana mereka mampu bercakap di depan khalayak ramai, sebagai contoh pengacara majlis persidangan yang kami adakan adalah dari kalangan pelajar Sekolah Amanah.

“Kami menyediakan ‘parking lot’ untuk murid berikan maklum balas selepas kelas tamat, dan daripada situ, guru tahu adakah pelajar faham atau tidak subjek yang diajar. Program ini juga mewujudkan Student Voice Group (SVG) di mana murid-murid yang bukan top juga dipilih untuk menyertai SVG ,” katanya.

Zaida berkata demikian pada majlis Persidangan Sekolah Amanah yang diadakan selama dua hari di sebuah hotel di Subang Jaya, baru-baru ini.

Majlis dirasmikan oleh Pengarah Bahagian Pengurusan Sekolah Harian, Kementerian Pendidikan Malaysia, Abdul Muie Ngah dan turut dihadiri oleh Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah, Yayasan AMIR, Raja Tan Sri Dato’ Seri Arshad Raja Tun Uda.

Persidangan itu diadakan bagi berkongsi mengenai impak positif yang dicapai Sekolah Amanah serta perkongsian pihak luar tentang isu semasa seperti kesihatan mental, sustainability development goals (SDG) dan artificial intelligence (AI).

Pelbagai pengisian padat telah dirangka bagi memberi informasi kepada peserta persidangan berkenaan proses transformasi, inovasi sekolah dan pencapaiannya. 

Pentas Marhaban, angkat budaya seni suara dalam Islam

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR – Terus menguatkan lagi kedudukan stesennya sebagai agen penggerak dakwah di platform penyiaran, TV AlHijrah tampil dengan membawakan sebuah program realiti TV berjudul Pentas Marhaban.

Pentas Marhaban adalah rancangan hiburan realiti TV Islamik bertujuan mengangkat kebudayaan seni suara dalam Islam iaitu seni berzanji, marhaban dan qasidah sebagai hiburan kekeluargaan di kaca televisyen.

Ketua Pegawai Eksekutifnya Namanzee Harris berkata, TV AlHijrah sentiasa memposisikan kedudukannya sebagai agen penyebar dakwah yang memikul tugas fardu kifayah dalam mendidik masyarakat Malaysia khususnya.

“Selepas kejayaan rancangan realiti Hijrahkan Laguku pada tahun 2021 dengan pencapaian keseluruhan (screen view) sebanyak 1.7 juta penonton dan rancangan realiti Akademi Qurra’ pada tahun 2022 dengan pencapaian keseluruhan (screen view) sebanyak 4.4 juta penonton,  TV AlHijrah perlu konsisten menghidangkan rancangan hiburan kekeluargaan mengikut syarak.

“Apatah lagi, baru-baru ini mengikut laporan data AC Nielson, TV AlHijrah terus memenangi hati penonton apabila berjaya melonjakkan jumlah tontonan peratusan perkongsian saluran (channel share) sehingga menduduki tangga lima teratas (top five) stesen tv terbaik di Malaysia sekaligus mengatasi saluran hiburan di negara ini.

“Kejayaan ini adalah penanda aras buat stesen tv kami untuk terus berjuang mengangkat martabat program-program yang bersifat spiritual dan Islamik ke mata dunia, Insya-Allah,” katanya.

Beliau berkata, peningkatan yang baik ini juga adalah petanda baik bahawa rancangan Pentas Marhaban yang akan diterbit dan disiar secara langsung ini bakal menjadi fenomena di dalam dunia penyiaran.

Dalam pada itu, Namanzee juga teruja kerana TV AlHijrah adalah satu-satunya stesen televisyen negara yang mengangkat aktiviti berzanji dan marhaban yang menjadi amalan tradisi masyarakat melayu dalam majlis-majlis perkahwinan, berkhatan dan cukur jambul ke kaca televisyen dan seluruh medium penyiaran sebagai program realiti.

“Pentas Marhaban diterbitkan bagi memenuhi metodologi dakwah yang lebih kreatif, bersesuaian dengan konsep Malaysia MADANI, Pelan Transformasi Al-Falah, peredaran zaman, kehendak penonton serta selari dengan tuntutan syarak.

“Ini secara jelasnya akan mewujudkan masyarakat yang lebih seimbang dari aspek spiritual dan fizikal.

“Pentas Marhaban akan disiarkan secara langsung selama lapan minggu dari Studio Penyiaran Digital TV AlHijrah, pada setiap Sabtu, jam 9 malam mulai 11 November ini,” katanya lagi.

Beliau berkata, Pentas Marhaban akan mengangkat tema Hiburan Tradisi Nurani, dan dihoskan oleh Syamsul Ghau Ghau dan Juara Akademi Qurra’  musim pertama, Tilmiz Fahmi.

Ustaz Husaini Mahmur, qari negara yang juga qari bagi rancangan Quran@114 di TV AlHijrah akan bertindak sebagai penasihat Pentas Marhaban, serta diadili dua  juri tetap iaitu Ustazah Asni Mansor dan Ustaz Hafiz Gambus. Tidak dilupakan juga sesi penjurian daripada juri jemputan mingguan.

Namanzee berkata, sebanyak 12 kumpulan marhaban bakal bersaing mengalunkan rangkaian puisi tentang kisah Rasulullah SAW serta puji-pujian kehadrat Ilahi yang disampaikan dengan iramanya yang tersendiri dengan penumpuan kepada tiga elemen utama pada setiap persembahan iaitu Mawal, Marhaban dan Qasidah.

“Mereka dipilih disebabkan kefasihan, kelunakan serta kreativiti persembahan yang terbaik. Suka saya kongsikan, kesemua 12 kumpulan bukan berada di sini semata-mata untuk merebut gelaran juara.

“Namun apa yang utama, mereka semua akan menjadi ikon elemen hiburan Islamik yang menitikberatkan wasilah dakwah kontemporari yang berupaya menghubungkan penonton dengan Rabbul Jalil,” katanya.

12 kumpulan terbabit adalah Al-Muhtadin, Selawat Buskers, Soutun Nadwah, Al Maqari, Mawaddah, Qalbun Hadi, An Ni’matul ‘Uzma, Shoutul Huffaz, Nurul Akhyar, Sinar Marhaban, Raudhatul Ashwaq dan Intracksee.

TV AlHijrah berkeyakinan bahawa Pentas Marhaban yang diterbitkan secara kreatif, bersifat malar segar, sesuai dengan selera dan penerimaan masyarakat mampu melahirkan masyarakat penonton yang berjiwa tauhid dalam kerangka dan batas syariat. 

Pengasas Sunway terima darjah kebesaran KBE oleh Raja Charles III

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR – Pengasas dan Pengerusi Kumpulan Sunway, Tan Sri Dr Jeffrey Cheah dinamakan sebagai penerima darjah kebesaran Komander Kesatria Darjah Yang Paling Cemerlang Empayar British (KBE) oleh Raja United Kingdom, Raja Charles III.

Dalam kenyataan oleh Suruhanjaya Tinggi British, Cheah diberi penghormatan itu atas sumbangannya dalam bidang pendidikan tinggi, perkhidmatan kesihatan serta kedermawanan.

Darjah kebesaran yang membawa awalan ‘KBE’ itu sangat berprestij dan jarang diberikan kepada rakyat bukan daripada Alam Komanwel, menurut kenyataan itu.

“Darjah kebesaran yang dikurniakan kepada Cheah ini adalah yang kedua di Malaysia sejak kebelakangan ini dan yang pertama dikurniakan Raja Charles kepada warganegara Malaysia.

“Darjah kebesaran ini juga sebagai pengiktirafan ke atas peranan penting yang dimainkan Cheah dalam menjalin hubungan peringkat tinggi dengan beberapa institusi UK dan menyumbang kepada hubungan dua hala antara UK dan Malaysia,” kata kenyataan itu.

Cheah, usahawan dan dermawan terkemuka Malaysia juga adalah pengasas dan pemegang amanah Yayasan Jeffrey Cheah yang memiliki dan mentadbir semua entiti dalam Kumpulan Pendidikan Sunway di bawah struktur bukan untuk keuntungan.

Sehingga kini, yayasan itu telah mengagihkan lebih RM670 juta biasiswa untuk menyediakan sokongan pendidikan kepada pelajar yang layak dan memerlukan, selain memberi kerusi dan jawatan profesor di beberapa universiti terkemuka dunia termasuk Universiti Cambridge dan Universiti Oxford di UK bagi memudahkan pemindahan pengetahuan dan membawa pakar bertaraf dunia ke Malaysia.

Menerusi bidang perniagaan dan kedermawanan, Suruhanjaya Tinggi British memaklumkan usaha gigih Cheah untuk belajar daripada yang terbaik dan bekerja dengan yang terbaik, membawa kepada kerjasama peringkat tinggi antara Sunway, Yayasan Jeffrey Cheah dan institusi terkenal di UK seperti Universiti Cambridge, Universiti Oxford, Universiti Lancaster dan Kolej Pakar Perubatan Diraja.

Dalam penjagaan kesihatan, kerjasama dengan Universiti Cambridge menyaksikan Pusat Perubatan Sunway di Sunway City Kuala Lumpur dilantik sebagai Rakan Tapak Serantau Pusat Penyelidikan Klinikal Universiti Cambridge, serta penamaan Pusat Bioperubatan Jeffrey Cheah di Kampus Bioperubatan Universiti Cambridge, kluster bioteknologi terbesar di luar Amerika Syarikat (AS).

“Selain memainkan peranan penting dalam tindak balas UK terhadap Covid-19, Pusat Bioperubatan Jeffrey Cheah menempatkan lebih 300 saintis yang menjalankan penyelidikan canggih untuk menangani cabaran kesihatan awam terkini dan baru muncul,” kata kenyataan itu lagi.

Dalam sektor pendidikan, Suruhanjaya Tinggi British menyatakan hubungan antara Universiti Sunway dan Universiti Lancaster sejak 2006 merupakan antara kerjasama pendidikan tinggi transnasional paling berjaya di peringkat dunia, memenangi anugerah Kerjasama Institusi Pendidikan UK-Malaysia pada Anugerah Kecemerlangan Perniagaan Dewan Perniagaan British Malaysia (BMCC) 2022.

“Terkini, Cheah mengetuai Kumpulan Sunway menerusi Sunway Innovation Lab menjalin kerjasama dengan firma berpangkalan di Cambridge, Deeptech Labs, justeru membolehkan mereka mempercepatkan pertumbuhan teknologi karbon sifar dan membuka jalan untuk syarikat pemula UK di rantau Asia Pasifik,” katanya.

Cheah dalam kenyataan sama berkata, beliau amat terharu dengan penganugerahan itu dan menganggap penghormatan diterima beliau bukan semata-mata secara peribadi, tetapi turut mengiktiraf usaha semua pihak yang bergabung dengan Kumpulan Sunway dan Yayasan Jeffrey Cheah dalam memberi impak positif kepada masyarakat dan Malaysia.

Pesuruhjaya Tinggi British ke Malaysia, Ailsa Terry, turut mengucapkan tahniah kepada Cheah dan menyifatkan beliau sebagai usahawan luar biasa yang telah membina dan membawa Kumpulan Sunway menjadi konglomerat yang berjaya dengan pelaburan di UK.

Kenyataan itu berkata, Terry akan menyampaikan darjah kebesaran itu kepada Cheah bagi pihak Raja Charles pada tarikh yang akan diumumkan kemudian.

Sebelum ini, Pengerusi Eksekutif YTL Corporation Bhd, Tan Sri Francis Yeoh menerima darjah kebesaran itu pada 2019.