editormaxinfo@gmail.com
KUALA LUMPUR – Inisiatif program Quranic Madani yang digerakkan oleh pendakwah bebas, Muhammad Haris Mohd Ismail terus mendapat sambutan positif apabila siri pertamanya berjaya dilaksanakan di Rumah Titian Kaseh baru-baru ini dalam usaha memperkukuhkan pendidikan al-Quran dalam kalangan golongan asnaf dan masyarakat kurang berkemampuan.
Program yang berteraskan pengajaran al-Quran serta ilmu tajwid itu menghimpunkan penghuni rumah kebajikan berkenaan, termasuk kanak-kanak dan remaja berusia seawal lapan tahun hingga belasan tahun.
Inisiatif itu dilihat sebagai platform penting dalam membentuk generasi muda yang bukan sahaja celik al-Quran, malah mampu membaca kitab suci itu dengan baik dan bertajwid.
Menurut PU Riz, pelaksanaan Quranic Madani adalah satu usaha murni yang diharap dapat diperluaskan ke seluruh negara bagi memastikan lebih ramai masyarakat mendapat akses kepada pendidikan agama secara menyeluruh.

Beliau berkata, sesi pengajaran yang berlangsung di Rumah Titian Kaseh itu berjalan dengan lancar dan memberikan manfaat kepada semua peserta yang hadir.
“Alhamdulillah, hari ini kita memulakan sesi Quranic Madani iaitu sesi pengajaran al-Quran dan tajwid di Rumah Titian Kaseh.
“Bermula dengan anak-anak sekecil usia lapan tahun sehingga remaja belasan tahun yang mengikuti kelas ini, secara keseluruhannya sesi berjalan dengan baik dan semua mendapat manfaat,” katanya.
Dalam masa sama, beliau turut menyifatkan program berkenaan selari dengan aspirasi dan usaha yang digerakkan oleh pihak Kementerian Agama dalam membantu golongan asnaf serta masyarakat memerlukan, khususnya melalui pendekatan pendidikan agama dan kebajikan.
Menurut beliau, sokongan serta bantuan yang disalurkan kepada penghuni rumah kebajikan seperti Rumah Titian Kaseh membuktikan komitmen berterusan kerajaan dalam memperkasakan kesejahteraan ummah.

PU Riz turut merakamkan penghargaan kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr. Zulkifli Hasan atas usaha berterusan kementerian dalam membantu golongan asnaf dan mereka yang memerlukan.
“Ini juga seiring dengan apa yang dilakukan oleh Kementerian Agama yang menyalurkan bantuan kepada golongan asnaf yang berada di sini. Kita ucapkan tahniah,” katanya.
Beliau berharap program Quranic Madani dapat menjadi satu gerakan berterusan dalam melahirkan masyarakat yang lebih dekat dengan al-Quran serta menjadikan pembelajaran al-Quran sebagai budaya dalam kehidupan seharian.
“Semoga semua masyarakat di Kuala Lumpur dan seluruh Malaysia dapat belajar al-Quran serta membaca al-Quran dengan baik,” katanya lagi.
Program Quranic Madani dijangka akan diperluaskan ke beberapa lagi lokasi di seluruh negara sebagai usaha mendekati masyarakat dan memastikan pendidikan al-Quran dapat diakses oleh semua lapisan masyarakat tanpa mengira latar belakang sosial dan ekonomi.

