editormaxinfo@gmail.com
KUALA LUMPUR – Huawei Consumer Business Group Malaysia dan Universiti Malaya terus memperkukuhkan inovasi kesihatan pintar menerusi kerjasama strategik dalam penyelidikan teknologi wearable bagi menyokong pembangunan penjagaan kesihatan pencegahan yang lebih moden dan mudah diakses rakyat Malaysia.
Kerjasama bersejarah itu dimeterai menerusi majlis menandatangani memorandum perjanjian yang membabitkan kajian risiko diabetes menggunakan teknologi jam pintar melalui peranti terbaharu HUAWEI WATCH FIT 5 Pro.
Kolaborasi berkenaan adalah kerjasama penyelidikan pertama antara Universiti Malaya dan Huawei Consumer Business Group Malaysia, sekali gus mencerminkan komitmen bersama dalam memperluaskan pembangunan teknologi kesihatan pintar yang mampu meningkatkan kesedaran kesihatan serta menggalakkan gaya hidup lebih sihat dalam kalangan masyarakat.
Majlis menandatangani perjanjian itu telah disempurnakan oleh Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) Universiti Malaya, Professor Ir. Dr. Kaharudin Dimyati bersama Pengarah Negara Huawei Consumer Business Group Malaysia, Patrick Ru.
Menurut Patrick Ru, Huawei percaya teknologi bukan sekadar menawarkan kemudahan dan sambungan digital, malah mampu memberikan nilai bermakna dalam kehidupan harian masyarakat.

Beliau berkata, kerjasama bersama Universiti Malaya itu diharap dapat membuka lebih banyak peluang dalam meneroka bagaimana teknologi wearable mampu membantu meningkatkan kesedaran kesihatan selain menggalakkan rakyat Malaysia mengambil pendekatan lebih proaktif terhadap penjagaan kesihatan dan kesejahteraan diri.
Kajian itu akan diketuai oleh Pengarah Eksekutif Jabatan Penyelidikan dan Kemajuan Klinikal serta Pakar Perunding Kanan Endokrinologi Universiti Malaya, Professor Dr. Lim Lee Ling dan dijangka bermula dalam masa terdekat di Malaysia.
Penyelidikan yang berlangsung selama dua tahun itu akan memberi fokus kepada kajian berkaitan glukosa darah menerusi keupayaan teknologi wearable yang diintegrasikan dalam jam pintar Huawei, sekali gus memperkukuhkan peranan peranti pintar dalam menyokong inovasi penjagaan kesihatan pencegahan.
Menerusi inisiatif berkenaan, pengguna HUAWEI WATCH FIT 5 Pro bakal menjadi antara individu terawal yang boleh mendaftarkan minat untuk menyertai kajian berkenaan, manakala maklumat lanjut berkaitan penyertaan akan diumumkan oleh Universiti Malaya pada masa akan datang.
Sementara itu, Professor Ir. Dr. Kaharudin Dimyati berkata, kerjasama berkenaan mencerminkan komitmen berterusan Universiti Malaya dalam memperkasakan penyelidikan dan inovasi yang mampu memberi impak positif kepada masyarakat.
Menurut beliau, gabungan kepakaran akademik bersama kemajuan teknologi wearable dilihat sebagai satu langkah besar ke arah meningkatkan penglibatan komuniti serta memperkasakan kesedaran penjagaan kesihatan pencegahan dalam kalangan rakyat Malaysia.

Kerjasama itu turut memperkukuhkan komitmen Huawei dalam memperluaskan inovasi kesihatan pintar menerusi ekosistem wearable syarikat terbabit, khususnya dalam pembangunan ciri yang menyokong pemantauan kesihatan lebih bijak, kesedaran gaya hidup sihat dan pengalaman kesejahteraan menyeluruh kepada pengguna.
Dalam perkembangan sama, siri HUAWEI WATCH FIT 5 Series kini ditawarkan di Malaysia bermula pada harga RM799 dengan baucar diskaun awal sehingga RM150.
Peranti terbabit boleh didapati di semua HUAWEI Experience Store, Laman Rasmi Huawei Malaysia, HUAWEI Official Store Shopee, HUAWEI Flagship Store Lazada serta HUAWEI Official Store TikTok Shop.
Pelanggan turut menerima hadiah eksklusif bernilai sehingga RM585 termasuk HUAWEI FreeBuds SE 2, jaminan APAC selama setahun, keahlian HUAWEI Health+ selama tiga bulan serta langganan HUAWEI Watch Face Membership selama sebulan.

