30.7 C
Kuala Lumpur
Sunday, May 24, 2026

Program T-GEAR Prasarana perkasa TVET, latih generasi tenaga mahir pengangkutan awam masa depan

editormaxinfo@gmail.com

CHERAS – Prasarana Malaysia Berhad terus memperkukuh komitmennya dalam melahirkan generasi tenaga mahir pengangkutan awam menerusi pelaksanaan Program TVET Graduate Empowerment through Apprenticeship & Readiness (T-GEAR), selaras dengan keperluan industri mobiliti negara yang semakin berkembang pesat.

Melalui program ini, seramai 67 pelajar daripada 24 Kolej Vokasional seluruh negara telah memulakan latihan, sekali gus membuka peluang kepada mereka untuk menimba pengalaman industri secara langsung bersama pengendali pengangkutan awam negara.

Peserta akan ditempatkan di beberapa depot bas sekitar Lembah Klang dan Pulau Pinang bagi mendapatkan pendedahan praktikal dalam persekitaran operasi sebenar.

Program T-GEAR ini adalah antara inisiatif strategik Prasarana dalam memperkasa bakat Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), dengan sasaran penyertaan seramai 1,000 pelajar dalam tempoh lima tahun merangkumi bidang rel, bas dan keselamatan siber.

Inisiatif ini juga kesinambungan usaha yang telah dimulakan sejak 2025, sejajar dengan aspirasi Dasar TVET Negara 2030 dalam membangunkan tenaga kerja berkemahiran tinggi.

Dalam sektor TVET bas, program ini memberi penekanan kepada modul Pengoperasian Bas Elektrik, yang merangkumi pembelajaran teori, latihan praktikal di tempat kerja serta pendedahan menyeluruh kepada operasi sebenar pengangkutan awam.

Pendekatan latihan berstruktur ini bertujuan memastikan peserta bukan sahaja mahir dari segi teknikal, tetapi juga bersedia menghadapi cabaran industri masa depan.

Peserta yang berjaya menamatkan program ini akan dianugerahkan Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) yang diiktiraf oleh Jabatan Pembangunan Kemahiran, selain turut menerima Sijil Latihan Industri daripada Prasarana.

Pengiktirafan ini diharap dapat meningkatkan kebolehpasaran graduan dalam sektor pengangkutan awam dan industri berkaitan.

Program yang diselia oleh Jabatan Pembelajaran dan Pembangunan serta Rapid Bus Sdn Bhd ini turut memberi fokus kepada pembangunan kemahiran teknikal serta kefahaman terhadap teknologi kenderaan elektrik, sejajar dengan perkembangan pesat mobiliti hijau di peringkat global.

Bagi tahun 2026, Prasarana menyasarkan penyertaan seramai 251 pelajar dan graduan daripada pelbagai latar belakang, termasuk lepasan sekolah, pelajar institusi vokasional, pemegang diploma dan graduan universiti yang berminat membina kerjaya dalam bidang teknikal berkaitan rel dan bas.

Majlis pembukaan Program T-GEAR telah diadakan pada 17 Mac 2026 di Kompleks Rapid Bus Cheras Selatan.

Dalam ucapannya, Ketua Pegawai Modal Insan Kumpulan Prasarana, Dr. Harigaran Bharatham berkata pelaksanaan modul Pengoperasian Bas Elektrik mencerminkan komitmen syarikat dalam memastikan pembangunan bakat selari dengan keperluan masa depan industri pengangkutan awam.

Beliau berkata, program itu bukan sahaja memberi peluang kepada pelajar memperoleh kemahiran teknikal yang diiktiraf, malah menyediakan pendedahan langsung kepada teknologi mobiliti hijau yang kini menjadi keutamaan dalam pembangunan sistem pengangkutan awam negara.

Sementara itu, Pengarah Bahagian Pendidikan dan Latihan Teknikal Vokasional, Kementerian Pendidikan Malaysia, Ts. Zulkernai Fauzi menyatakan bahawa pendekatan latihan berasaskan industri seperti T-GEAR mampu memperkukuh kebolehpasaran graduan TVET yang berkemahiran tinggi.

Menurut beliau, kerjasama strategik antara industri dan institusi latihan amat penting bagi memastikan kurikulum sentiasa relevan dengan kehendak semasa industri, sekali gus memberi kelebihan kepada pelajar dalam menghadapi pasaran kerja yang semakin kompetitif.

Pelaksanaan Program T-GEAR ini membuktikan komitmen berterusan Prasarana dalam menyokong pembangunan modal insan negara, di samping memperkukuh ekosistem pengangkutan awam melalui tenaga kerja berkemahiran tinggi, inovatif dan bersedia mendepani cabaran masa depan.

ARTIKEL BERKAITAN

Popular