30.7 C
Kuala Lumpur
Sunday, May 24, 2026

Vaksin EV71 pertama lulus di Vietnam: ENVACGEN® lindungi kanak-kanak daripada HFMD

editormaxinfo@gmail.com

TAIPEI/GENEVA – Syarikat bioteknologi Medigen Vaccine Biologics Corp. (MVC) mencatat pencapaian penting apabila vaksin Enterovirus A71 (EV-A71) mereka, ENVACGEN®, secara rasmi menerima kelulusan pemasaran daripada Drug Administration of Vietnam (DAV).

Kelulusan ini menjadikan ENVACGEN® sebagai vaksin EV71 pertama yang diluluskan di Vietnam, sekali gus membuka lembaran baharu dalam usaha menangani penyakit tangan, kaki dan mulut (HFMD) di rantau Asia Tenggara.

Pengumuman yang dibuat bersama rakan strategik Substipharm Biologics itu turut menyaksikan syarikat berkenaan akan menerajui aktiviti pemasaran serta pengedaran vaksin tersebut di Vietnam.

Langkah ini dijangka memperkukuh kehadiran kedua-dua syarikat dalam pasaran Asia Tenggara, selari dengan permintaan tinggi terhadap vaksin pediatrik berkualiti.

Enterovirus 71 dikenal pasti sebagai antara punca utama komplikasi neurologi serius dan kematian dalam kalangan kanak-kanak kecil di Asia.

Di Vietnam sahaja, negara itu terus berdepan gelombang wabak berulang dengan kira-kira 180,000 kes dan 31 kematian direkodkan pada tahun 2023.

Situasi ini memberi tekanan besar kepada sistem kesihatan negara dan menuntut penyelesaian pencegahan yang lebih berkesan.

Dalam konteks terbabit, ENVACGEN® dilihat sebagai inovasi penting apabila menawarkan keberkesanan klinikal yang tinggi, termasuk perlindungan awal kepada bayi seawal usia dua bulan serta imuniti jangka panjang melebihi lima tahun.

Dengan kadar kelahiran tahunan Vietnam mencecah 1.36 juta, pengenalan vaksin ini dijangka dapat menangani keperluan perubatan yang masih belum dipenuhi, khususnya dalam kalangan populasi pediatrik.

Ketua Pegawai Eksekutif MVC, Leo Lee, menyifatkan kelulusan ini sebagai pencapaian penting dalam pengembangan global syarikat.

Katanya, kerjasama dengan Substipharm Biologics akan membolehkan akses lebih luas kepada vaksin berkualiti tinggi, selain memastikan bekalan stabil melalui pelan pengembangan kapasiti yang telah dimulakan.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Substipharm Biologics, Fabrice Baschiera, berkata, virus EV71 telah lama menjadi ancaman kesihatan serius di Vietnam, terutamanya dengan peningkatan kes HFMD yang ketara sejak sedekad lalu.

“Pada tahun 2025 sahaja, lebih 107,000 kes dilaporkan, meningkat hampir 29 peratus berbanding tahun sebelumnya.

“Pengenalan ENVACGEN® sebagai langkah penting dalam melindungi kanak-kanak daripada jangkitan berbahaya ini,” katanya.

Ditubuhkan pada tahun 2012, MVC adalah syarikat bioteknologi yang memberi tumpuan kepada pembangunan vaksin inovatif menggunakan teknologi kultur sel maju.

Syarikat ini sebelum ini turut mencatat sejarah sebagai satu-satunya pengeluar tempatan di Taiwan yang menerima Kelulusan Penggunaan Kecemasan (EUA) semasa pandemik COVID-19.

Portfolio produknya merangkumi vaksin enterovirus dan influenza, selain beberapa vaksin lain yang masih dalam peringkat penyelidikan.

Dalam masa sama, Substipharm sebagai syarikat farmaseutikal global dari Perancis terus mengukuhkan kedudukannya melalui rangkaian operasi di lebih 100 negara.

Melalui anak syarikatnya, Substipharm Biologics, syarikat itu memberi tumpuan khusus kepada pembangunan dan pengedaran vaksin di rantau Asia Pasifik, termasuk vaksin Japanese encephalitis IMOJEV® yang kini digunakan secara meluas.

Kelulusan ENVACGEN® di Vietnam bukan sahaja mencerminkan kemajuan dalam inovasi vaksin, malah menjadi titik tolak penting dalam usaha memperluas akses kepada perlindungan kesihatan kanak-kanak di Asia Tenggara.

Dengan kerjasama strategik ini, kedua-dua syarikat dilihat berada pada kedudukan kukuh untuk memainkan peranan lebih besar dalam landskap kesihatan awam serantau.

ARTIKEL BERKAITAN

Popular