editormaxinfo@gmail.com
KUALA LUMPUR – Industri perfileman tempatan bakal menyaksikan kemunculan sebuah karya aksi epik yang dinanti-nantikan apabila filem Tarung: Unforgiven dijadualkan menemui penonton di pawagam seluruh negara bermula 7 Mei 2026.
Filem terbitan Alpha47 dengan kerjasama Icon Pictures dan Astro Shaw ini diarahkan oleh pengarah terkenal Razaisyam Rashid yang dikenali dengan gaya visual serta sinematografi yang memukau.
Pengumuman rasmi barisan pelakon utama filem ini telah berlangsung di Malaysia International Trade and Exhibition Centre (MITEC), sekali gus menandakan permulaan perjalanan promosi menuju tayangan rasmi.
Majlis turut menyaksikan pelancaran video eksklusif berdurasi satu minit yang bakal ditayangkan di pawagam seluruh negara sebagai pembuka selera kepada penonton.
Tarung: Unforgiven tampil dengan kekuatan barisan pelakon berprofil tinggi yang terdiri daripada Bront Palarae, Zul Ariffin, Aedy Ashraf, Mierul Aiman, Amir Ahnaf, Azira Shafinaz, Sharifah Sakinah, Ubai Amir, Sky Iskandar, Ikmal Amry, Aeril Zafrel serta Theebaan G.

Gabungan pelakon ini dijangka memberikan impak besar menerusi persembahan yang penuh intensiti dan emosi.
Menurut Razaisyam Rashid, filem ini mengetengahkan konsep ‘ensemble cast’ yang membawa lapisan emosi berbeza dalam setiap watak, sekali gus memperkukuhkan konflik penceritaan.
Katanya, tema utama filem ini bersifat sangat peribadi, iaitu “you versus you”, yang menggambarkan pertarungan dalaman manusia melawan kelemahan, ego dan ketakutan sendiri.
“Pendekatan ini diharap dapat meninggalkan kesan mendalam kepada penonton selepas keluar dari pawagam.
“Dari sudut produksi, Tarung: Unforgiven adalah antara projek terbesar yang pernah dihasilkan saya hasilkan,” katanya.

Namun begitu, Razaisyam turut membawa pendekatan baharu yang berbeza daripada karya terdahulu, membabitkan gaya visual, koreografi aksi serta teknik penceritaan yang lebih segar, sekali gus mencerminkan evolusi dalam perjalanan seninya sebagai pembikin filem.
Menariknya, filem ini juga menandakan langkah baharu buat Aedy Ashraf yang bukan sahaja tampil sebagai pelakon utama, malah memegang peranan sebagai penerbit eksekutif dan penerbit.
Beliau menyifatkan projek ini sebagai titik perubahan penting dalam kerjayanya, khususnya dalam usaha memperkukuh penglibatan dalam aspek pembangunan dan hala tuju kreatif filem menerusi syarikat produksinya sendiri, Alpha47.
“Keputusan untuk menerbitkan filem berskala besar pada usia 33 tahun adalah satu risiko besar, namun saya melihatnya sebagai peluang untuk berkembang dalam industri.
“Kerjasama bersama Razaisyam Rashid turut dianggap sebagai pengalaman berharga kerana kami berdua berkongsi visi untuk menghasilkan karya tempatan yang mampu bersaing dan menarik perhatian penonton arus perdana,” katanya.
Dari segi penceritaan, Tarung: Unforgiven mengisahkan seorang bekas juara silat yang dibelenggu dosa silam akibat satu tragedi hitam.

Demi menyelamatkan kakaknya, dia terpaksa menyertai gelanggang pertarungan haram, tanpa menyedari bahawa lawan yang bakal dihadapi adalah individu yang pernah rapat dalam hidupnya suatu ketika dahulu.
Konflik emosi dan aksi yang intens menjadi teras utama yang menggerakkan naratif filem ini.
Seiring dengan kempen promosi yang bakal diperluaskan, orang ramai boleh mengikuti perkembangan terkini serta klip menarik filem ini menerusi platform digital rasmi Alpha47, Icon Pictures dan Astro Shaw.
Perbualan mengenai filem ini juga boleh dikongsi menggunakan tanda pagar #TarungUnforgiven bagi menyemarakkan lagi keterujaan menjelang tayangan rasmi.
Dengan gabungan jalan cerita yang mendalam, aksi mendebarkan serta barisan pelakon berpengaruh, Tarung: Unforgiven dilihat berpotensi menjadi antara filem tempatan paling berimpak tinggi pada tahun 2026.

