33.5 C
Kuala Lumpur
Sunday, May 24, 2026

Pendidikan tinggi perlu lebih fleksibel hadapi cabaran gobal – MQA

editormaxinfo@gmail.com
TANJONG MALIM – Sistem pendidikan tinggi negara perlu bergerak ke arah yang lebih fleksibel bagi mendepani perubahan global yang semakin pesat, selari dengan kemajuan teknologi, kehendak industri serta jangkaan baharu generasi pelajar masa kini.

Ketua Pegawai Eksekutif Agensi Kelayakan Malaysia (MQA), Prof. Datuk Dr. Mohammad Shatar Sabran berkata, pendekatan pendidikan tradisional yang terlalu berstruktur kini tidak lagi memadai untuk memenuhi keperluan semasa.

Sebaliknya, institusi pengajian tinggi perlu berani melakukan transformasi dengan memperkenalkan model pembelajaran yang lebih anjal, relevan dan berorientasikan masa depan.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan sesi perkongsian pakar bertajuk “The Future Higher Education Landscape” yang dihadiri seramai 531 kakitangan akademik dan bukan akademik Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) di Dewan SITC, menerusi program Teaching, Learning, Assessment and Supervision (TLAS) anjuran Pusat Pembangunan Akademik universiti berkenaan.

Turut hadir dalam program itu ialah Naib Canselor UPSI, Prof. Datuk Dr. Md Amin Md Taff bersama barisan Ahli Jawatankuasa Pengurusan Universiti (JKPU) sebagai tanda sokongan terhadap usaha memperkukuh kecemerlangan pengajaran dan pembelajaran dalam kalangan warga universiti.

Menurut Mohammad Shatar, antara langkah penting dalam meningkatkan fleksibiliti pendidikan tinggi ialah dengan memperluas laluan pembelajaran alternatif bagi menyokong konsep pembelajaran sepanjang hayat.

Ini termasuk pelaksanaan micro credentials, Accreditation of Prior Experiential Learning (APEL) serta pengukuhan pendekatan Work-Based Learning (WBL 2.0).

“Pendekatan itu membolehkan pelajar mengikuti proses pembelajaran secara lebih fleksibel, di samping memperoleh pengalaman yang lebih hampir dengan keperluan sebenar industri.

“MQA komited untuk memberi ruang kepada institusi pengajian tinggi menyesuaikan struktur program masing-masing agar kurikulum kekal relevan dengan perkembangan semasa serta kehendak pasaran kerja yang sentiasa berubah,” katanya.

Beliau berkata, pensyarah juga perlu memainkan peranan lebih dinamik dengan menyesuaikan kaedah pengajaran selari dengan perubahan landskap pendidikan tinggi.

“Pensyarah bukan lagi sekadar penyampai ilmu, sebaliknya bertindak sebagai pemudah cara yang mampu mewujudkan pengalaman pembelajaran yang lebih bermakna kepada pelajar.

“Kepentingan memperkasa pendekatan pembelajaran berasaskan konsep 3L iaitu learn by doing, learn by seeing dan learn by listening bagi meningkatkan tahap penglibatan pelajar serta memastikan proses pembelajaran menjadi lebih efektif,” katanya.

Katanya, pembangunan pelajar juga perlu dilihat secara holistik merangkumi aspek fizikal, sosial, spiritual dan psikologi bagi melahirkan graduan yang seimbang, berdaya saing serta mampu menyesuaikan diri dengan perubahan global yang semakin mencabar.

ARTIKEL BERKAITAN

Popular