26.4 C
Kuala Lumpur
Sunday, May 24, 2026

Ella umum konsert mega ‘Majlis Tertinggi Rockqueen’ di Bukit Jalil 2026

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR – Ratu Rock Negara, Ella, bakal mencipta satu lagi detik bersejarah dalam industri muzik tanah air apabila mengumumkan konsert mega terbaharunya berjudul ‘Majlis Tertinggi Rockqueen’, yang dijadual berlangsung pada Sabtu, 14 Februari 2026 di Stadium Nasional Bukit Jalil.

Konsert berskala besar ini dianjurkan oleh Hitman Solutions bersama Rockqueen dan disifatkan sebagai antara projek paling signifikan dalam kerjaya Ella, sekali gus menjadi simbol penghargaan terhadap legasi hampir empat dekad beliau dalam dunia seni suara.

Stadium Nasional Bukit Jalil dipilih sebagai lokasi bersejarah yang pernah menyaksikan pelbagai detik monumental perjalanan seni Ella sebagai ikon muzik Malaysia.

Mengangkat tema “Peace, Love & Rindu”, konsert ini bukan sekadar sebuah persembahan hiburan, sebaliknya membawa mesej kemanusiaan yang mendalam.

Ella berkata, tema itu merangkumi nilai sejagat yang ingin disampaikan kepada masyarakat, merentas usia dan latar belakang.

Menurut Ella, pemilihan judul “Majlis Tertinggi Rockqueen” bukan hanya merujuk kepada statusnya sebagai ratu rock, tetapi mencerminkan satu gerakan yang lebih besar.

Beliau yang bakal mencapai usia 60 tahun pada 2026 menyifatkan konsert ini sebagai wadah untuk meninggalkan legasi bermakna, khususnya dalam aspek kemanusiaan dan kebajikan.

“Tema yang dibawa, “Peace” melambangkan solidariti terhadap perjuangan rakyat Gaza, “Love” pula merujuk kepada usaha membanteras isu buli khususnya dalam institusi pendidikan di Malaysia.

“Manakala “Rindu” didedikasikan kepada penggiat seni tanah air yang terus berkarya dan menyumbang kepada kelangsungan industri hiburan tempatan,” katanya.

Menariknya, konsert ini turut menekankan elemen keterangkuman dengan menawarkan harga tiket yang mampu milik, berbeza daripada kebanyakan konsert berskala mega lain.

Langkah ini diambil bagi memastikan konsert berkenaan benar-benar menjadi sebuah acara untuk rakyat, tanpa mengorbankan kualiti persembahan serta pengalaman audio visual bertaraf tinggi.

Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengasas Hitman Group, Rohit Rampal, berkata konsert ini membawa semangat “memberi kembali kepada masyarakat”.

Justeru, lokasi berskala besar dipilih agar lebih ramai peminat dapat hadir dan menikmati persembahan istimewa Ella.

Tambah beliau, setiap pembelian tiket akan melibatkan elemen interaktif apabila peminat diminta memilih dan mengundi tabung sumbangan mengikut tema “Peace”, “Love” atau “Rindu”.

Setiap undian akan menyumbang RM2 kepada organisasi berkaitan, iaitu Persatuan Cinta Gaza Malaysia, Yayasan Kebajikan Negara atau Yayasan Kebajikan Artis Tanahair, sekali gus menjadikan konsert ini sebagai platform hiburan dan amal.

Mengakui sudah lama tidak beraksi di pentas sebesar Stadium Nasional Bukit Jalil, Ella melihat cabaran ini sebagai pemangkin semangat untuk terus memberikan yang terbaik.

Beliau turut berkongsi bahawa kecintaan terhadap seni dan sokongan peminat menjadi kekuatan utama yang membolehkannya kekal relevan dan bersemangat selepas hampir 40 tahun berkarya.

Ella menzahirkan harapan agar konsert “Majlis Tertinggi Rockqueen” bukan sahaja berjaya mengumpul sumbangan bermakna untuk pertubuhan kebajikan terbabit, malah mampu menyuntik inspirasi kepada generasi muda serta memastikan kebajikan seniman terus terbela.

Konsert ini turut mendapat sokongan pelbagai rakan strategik termasuk Perbadanan Stadium Malaysia sebagai lokasi rasmi, beberapa stesen radio utama sebagai radio rasmi, serta rakan media dan rakan pengiklanan luar yang bersama-sama menjayakan acara ini.

ARTIKEL BERKAITAN

Popular