29 C
Kuala Lumpur
Saturday, May 23, 2026

Jiwa UPSI jadi pemangkin kejayaan universiti di pentas seni dan budaya

editormaxinfo@gmail.com

TANJONG MALIM- Semangat dan jiwa warga Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) terus menjadi nadi kepada kecemerlangan institusi itu dalam pelbagai bidang seni, budaya dan kreativiti sepanjang tahun 2025.

Kejayaan demi kejayaan yang dicapai pelajar dan pensyarah membuktikan kekuatan identiti UPSI sebagai universiti berteraskan pendidikan, warisan dan budaya.

Naib Canselor UPSI, Prof Datuk Dr Md Amin Md Taff, berkata pencapaian itu adalah manifestasi komitmen seluruh warga universiti yang menjunjung roh pendidikan sejak penubuhan UPSI lebih seratus tahun lalu.

Menurutnya, kemenjadian pelajar yang semakin menyerlah di peringkat nasional dan antarabangsa membuktikan bahawa UPSI kekal berada pada landasan seni dan budaya yang menjadi tunjang pembinaan jati diri universiti.

“Kejayaan ini bukan milik individu semata-mata, tetapi milik seluruh warga UPSI.

“Jiwa UPSI yang tertanam dalam diri setiap pelajar, pensyarah dan staf adalah tulang belakang yang menjadikan universiti ini terus relevan, unggul dan dihormati,” katanya ketika berucap pada Perhimpunan Bulanan UPSI edisi Disember bertemakan Ekspresi Seni Budaya yang berlangsung di Dewan SITC, Kampus Sultan Abdul Jalil Shah.

UPSI turut menzahirkan rasa bangga terhadap penglibatan kumpulan DeVokalis UPSI yang diberi penghormatan untuk membuat persembahan pada Konsert Wings 40 Tahun di Idea Live Arena, Damansara.

Penyertaan di pentas profesional itu menjadi simbol keyakinan industri seni tanah air terhadap kemampuan bakat muda UPSI.

Rentetan kejayaan pelajar UPSI pada tahun ini semakin menyerlah apabila universiti itu muncul Juara Keseluruhan Malam Bumi Kenyalang di Universiti Sains Malaysia, selain meraih Best Folk Dance Performance Award di 34th International Korean Dance Festival di Korea Selatan.

Di peringkat Eropah, pelajar Nur Airisha Sofiya Ahmad Zahari mengharumkan nama UPSI apabila meraih tempat pertama kategori Trio Ethnic Creative dalam pertandingan gamelan yang berlangsung di Prague dan Budapest.

Dalam dunia muzik pula, kehebatan mahasiswa UPSI terus terserlah dengan kemenangan dalam Pertandingan Dikir Barat Kelantan di ASWARA, kejayaan meraih Anugerah Emas dalam Malaysian International Wind Festival, serta penampilan cemerlang pelajar E.D. Shazry Aman yang dinobatkan sebagai juara Raise The Star Malaysia di TV3.

UPSI turut mempertahankan penguasaan dalam Malaysia International Keroncong Festival, sekali gus mengekalkan reputasinya sebagai salah satu pusat kecemerlangan muzik negara.

Dalam arena teater, pelajar UPSI menerima pengiktirafan sebagai Pelakon Lelaki Terbaik dan Juara Keseluruhan Manifestasi Teater Negeri Perak 2024.

Kejayaan itu diteruskan apabila pasukan teater universiti merangkul kejuaraan Lomba Teater di Universitas Indonesia sempena Festival SEGARA ASEAN 2025.

Bukan sahaja pelajar, bahkan pensyarah UPSI turut mencipta sejarah apabila seorang guru vokal universiti dipilih sebagai penulis lirik dan komposer lagu baharu Biduanita Negara Datuk Seri Siti Nurhaliza bertajuk Gema Bumantara.

Perkembangan itu bukan sahaja mengangkat nama UPSI ke arena arus perdana, malah membuktikan keupayaan akademik universiti bersaing dalam industri muzik profesional.

Perhimpunan bulanan berkenaan turut menampilkan segmen bicara promosi Konsert Gendang Pati@UPSI yang bakal berlangsung pada 17 Januari 2026.

Segmen berkenaan menampilkan Pengarah Muzik konsert, Aznan Alias, yang juga anggota Kumpulan Gong Datuk (Dr) M. Nasir, bagi memberi pendedahan mengenai konsep persembahan yang mengangkat warisan gendang Melayu.

Mengakhiri ucapannya, Prof Datuk Dr Md Amin berkata, segala pencapaian itu menonjolkan keutuhan Jiwa UPSI yang menjadi penggerak utama kejayaan universiti.

“Semua kejayaan ini membuktikan bahawa Jiwa UPSI yang tertanam dalam diri pelajar, pensyarah dan seluruh warga universiti adalah nadi yang menggerakkan UPSI untuk terus unggul dalam seni, budaya dan pendidikan,” katanya.

ARTIKEL BERKAITAN

Popular