31.8 C
Kuala Lumpur
Monday, May 25, 2026

KWC Fashion Wholesale meriahkan semangat komuniti bersama Hari Keluarga dan sukan pickleball

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR – Dalam usaha menyemarakkan semangat kejiranan dan memupuk gaya hidup sihat dalam kalangan masyarakat bandar, KWC Fashion Wholesale dengan kerjasama Majlis Perwakilan Penduduk Wilayah Persekutuan Subzon 6, Parlimen Cheras telah menganjurkan edisi pertama Hari Keluarga KWC (KWC Family Day) sebuah acara komuniti yang berlangsung penuh meriah.

Bertempat di Stadium Pickleball KWC, acara ini menghimpunkan lebih 150 peserta dari pelbagai lapisan masyarakat, termasuk wakil-wakil daripada Persatuan Penduduk Seri Selangor, Persatuan Penduduk-Penduduk Rumah Pangsa DBKL Jalan Loke Yew, dan Persatuan Penduduk Seri Sarawak KL.

Turut serta ialah kakitangan KWC, pengamal media, serta peminat sukan rekreasi pickleball yang kini semakin mendapat perhatian ramai.

Pengurus Besar Perbadanan Pengurusan Kompleks Kenanga Wholesale City Fiona Bong berkata, pemilihan sukan pickleball sebagai aktiviti utama adalah bertepatan dengan matlamat untuk menjadikan gaya hidup sihat sesuatu yang inklusif dan mudah diakses oleh semua lapisan masyarakat.

Beliau berkata, walaupun ramai menganggap sukan ini sebagai sesuatu yang mahal dan eksklusif, hakikatnya pickleball adalah pilihan yang ringan, menyeronokkan dan mampu dimainkan oleh semua peringkat umur tanpa memerlukan kos yang tinggi.

“Kami percaya sukan ini mampu menyatukan masyarakat. Pickleball, adalah contoh aktiviti yang semakin dikenali dan sesuai untuk dijadikan wadah bagi menjalin hubungan baik antara jiran.

“Ini baru permulaan, dan kami berharap kerjasama seperti ini akan terus diperkasakan pada masa hadapan,” katanya.

Acara turut diserikan dengan kehadiran Ahli Parlimen Cheras, Tan Kok Wai, Pemilik Stadium Pickleball, Dato Hock Toh, serta Pengerusi Majlis Perwakilan Penduduk Parlimen Cheras Zon 6, Bryan Lew.

Dalam memastikan penglibatan yang menyeluruh, acara ini turut menampilkan Klinik Pickleball Percuma, di mana jurulatih bertauliah dari Stadium Pickleball KWC, Persatuan Pickleball Putrajaya dan Hussin San Pickleball berkongsi ilmu serta memperkenalkan sukan ini kepada peserta dan ramai yang hadir mencubanya buat pertama kali.

Selain itu, perlawanan santai turut diadakan bagi membolehkan peserta daripada pelbagai tahap kemahiran turut serta dalam suasana yang santai dan mesra.

Satu lagi tarikan utama acara adalah pertunjukan fesyen pakaian sukan oleh 6 finalis utama KWC Model Search 2025, yang memperagakan koleksi terkini daripada kedai-kedai sukan di KWC.

Gabungan elemen sukan dan fesyen ini bukan sahaja menceriakan suasana, malah menonjolkan kepelbagaian tawaran yang terdapat di kompleks beli-belah berkenaan.

Sementara itu, Tan Kok Wai menzahirkan penghargaan kepada KWC atas inisiatif dan kerjasama yang dilakukan dilihat berjaya menyatukan komuniti setempat melalui pendekatan yang sihat dan menyeronokkan.

“Pickleball ialah sukan yang sangat inklusif. Ia bukan sahaja membantu mengurangkan tekanan malah menggalakkan interaksi sosial.

“Inilah jenis aktiviti yang patut digalakkan di peringkat komuniti,” katanya yang turut berharap sukan ini akan lebih dikenali di Malaysia.

Dalam pada itu, Hock Toh berkata, Stadium Pickleball KWC memberi keutamaan kepada golongan pelajar untuk menggunakan fasiliti secara percuma pada hari-hari biasa sebagai sebahagian daripada inisiatif memperkenalkan sukan ini secara lebih meluas.

Hari Keluarga KWC disempurnakan dengan cabutan bertuah, menawarkan baucar tunai bernilai sehingga RM500, menjadikan acara ini bukan sahaja bermakna dari segi pengisian, tetapi juga mengujakan bagi peserta yang hadir.

Keseluruhannya, penganjuran Hari Keluarga KWC menjadi bukti bahawa KWC Fashion Wholesale bukan sekadar sebuah destinasi beli-belah, tetapi turut berfungsi sebagai hab komuniti yang aktif dan inklusif.

Melalui paduan sukan, hiburan, fesyen dan kebersamaan, KWC mengukuhkan peranannya dalam menyatukan masyarakat bandar moden yang sering dibatasi kesibukan harian.

ARTIKEL BERKAITAN

Popular