editormaxinfo@gmail.com
PETALING JAYA – Yayasan Basmi Kemiskinan (YBK) dengan kerjasama Coca-Cola Malaysia telah melaksanakan Program Sinar Kasih Aidilfitri bagi menceriakan sambutan Syawal komuniti yang memerlukan di PPR Lembah Subang 1 melalui pengagihan sumbangan karton minuman kepada keluarga terpilih.
Program yang berlangsung di Dewan Blok ABC, Taman Putra Damai itu diserikan dengan kehadiran tetamu utama iaitu Dato’ Zainal Abidin Sakom (Pengerusi YBK); Wan Ahmad Syazwan Mohamed (Ketua Hal Ehwal Awam, Komunikasi & Kemampanan Coca-Cola Malaysia); Dr. Abdul Fatah Khalid (Ahli Lembaga Pemegang Amanah YBK); Natalie Han serta Misha Romli.
Turut hadir memeriahkan program ialah selebriti terkenal, Awal Ashaari yang bersama tetamu utama telah menyampaikan sendiri sumbangan kepada penerima sebagai tanda keprihatinan dan perkongsian kegembiraan menjelang Hari Raya Aidilfitri.
Majlis dimulakan dengan taklimat perjalanan program oleh Muhammad Sherhan Nizam Abdul Aziz, Pengurus Besar YBK, sebelum sesi pengagihan sumbangan dilaksanakan secara tersusun kepada para penerima yang terdiri daripada Ketua Isi Rumah (KIR).

Menurut Zainal Abidin Sakom, program tahun ini menyaksikan penglibatan sektor korporat yang lebih besar dalam memastikan bantuan sampai terus kepada kumpulan sasar yang telah dikenal pasti.
Menerusi kerjasama itu, sebanyak 1,000 karton minuman diagihkan kepada golongan miskin tegar, yang dianggarkan memberi manfaat kepada kira-kira 5,000 individu berdasarkan purata lima ahli bagi setiap keluarga.
“Coca-Cola Malaysia sebelum ini telah menyumbang sebanyak RM60,000 bagi Program Sinar Kasih Ramadan, sekali gus memperkukuh jaringan kebajikan yang dilaksanakan oleh YBK sepanjang Ramadan tahun ini,” katanya.
Bagi fasa pertama di PPR Lembah Subang 1, seramai 150 keluarga telah menerima sumbangan itu, manakala baki sebanyak 850 karton lagi akan diedarkan pada minggu terakhir Ramadan melalui rakan strategik pertubuhan bukan kerajaan di beberapa lokasi termasuk Melaka, Negeri Sembilan dan Wilayah Persekutuan.

Sementara itu, Awal Ashaari melahirkan rasa syukur kerana berpeluang terbabit secara langsung dalam inisiatif kebajikan berskala besar itu.
“Kerjasama antara organisasi dan pihak korporat sebagai satu platform penting dalam merealisasikan usaha membantu golongan yang memerlukan,” katanya.

Dalam perkembangan sama, Wan Ahmad Syazwan Mohamed berkata, pihaknya komited untuk terus menyantuni golongan memerlukan bukan sahaja pada bulan Ramadan, malah dalam pelbagai aktiviti kemasyarakatan pada masa akan datang.
Sejak penubuhannya pada tahun 1990, YBK kekal aktif dalam usaha membasmi kemiskinan dengan memberi tumpuan kepada pembangunan modal insan serta kebajikan masyarakat di seluruh negara.
Program ini diharap dapat menceriakan sambutan Aidilfitri golongan sasar, di samping menyemai nilai keprihatinan dan semangat berkongsi rezeki dalam kalangan masyarakat.

