31.8 C
Kuala Lumpur
Tuesday, March 10, 2026

Esther Yu bakal temui peminat di Kuala Lumpur: iQIYI Starship 2026 pilih Malaysia sebagai persinggahan pertama

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR – Platform penstriman terkemuka Asia, iQIYI International, secara rasmi mengumumkan jelajah iQIYI Starship 2026 akan memulakan persinggahan pertamanya di Malaysia pada 7 April 2026.

Acara yang dinanti-nantikan ini bakal berlangsung di Zepp Kuala Lumpur dan menampilkan kemunculan khas pelakon serta Duta Global Antarabangsa iQIYI, Esther Yu (虞书欣), yang akan bertemu peminat di Malaysia buat kali pertama.

Pemilihan Malaysia sebagai destinasi pembukaan jelajah iQIYI Starship 2026 mencerminkan komitmen berterusan iQIYI dalam memperkukuh kehadirannya di pasaran tempatan.

Keputusan itu dibuat susulan sambutan luar biasa yang diterima oleh pelbagai aktiviti pengaktifan iQIYI Starship di seluruh Asia Tenggara pada tahun lalu, sekali gus membuktikan pengaruh platform penstriman itu yang semakin berkembang dalam kalangan penonton di rantau ini.

Esther Yu, yang dilantik secara rasmi sebagai Duta Global Antarabangsa iQIYI pada November tahun lalu, adalah antara pelakon popular drama China yang semakin mendapat perhatian di peringkat antarabangsa.

Antara karya terkenal yang dibintanginya termasuk drama fantasi romantik Love Between Fairy and Devil (2022), drama misteri My Journey to You (2023), serta Sword and Fairy (2024), yang semuanya boleh ditonton menerusi platform iQIYI International.

Semasa acara iQIYI Starship 2026 di Kuala Lumpur, Esther Yu dijangka berkongsi pengalaman serta kisah di sebalik tabir pembikinan drama yang dibintanginya, selain berinteraksi secara langsung dengan peminat tempatan.

Beliau juga akan memberikan respons terhadap sokongan padu yang diterima daripada penonton Malaysia terhadap drama asal iQIYI bertajuk Speed and Love (双轨), yang turut menampilkan lakonannya sebagai watak utama.

Speed and Love adalah drama-C original terbitan iQIYI yang mengetengahkan latar dunia perlumbaan kompetitif.

Jalan ceritanya menggabungkan elemen pertumbuhan peribadi, penemuan diri dan konflik emosi yang mendalam, sekali gus menjadikannya antara drama yang mencetuskan perbincangan hangat dalam kalangan peminat drama Asia.

Sejak dilancarkan, siri ini telah menarik perhatian penonton di seluruh Asia Tenggara dan muncul sebagai salah satu judul drama China yang paling banyak diperkatakan di rantau ini.

Bagi peminat yang ingin menyertai acara eksklusif ini, peluang penyertaan akan diberikan keutamaan kepada ahli VIP Tahunan Antarabangsa iQIYI Malaysia.

iQIYI turut memaklumkan maklumat lanjut mengenai mekanisme penyertaan serta perkembangan terkini acara iQIYI Starship 2026 di Malaysia akan diumumkan melalui platform media sosial rasmi iQIYI Malaysia dalam masa terdekat.

Kehadiran Esther Yu ke Malaysia menerusi iQIYI Starship 2026 dijangka menjadi antara acara hiburan antarabangsa yang paling dinanti-nantikan oleh peminat drama Asia tempatan, sekali gus mengukuhkan lagi hubungan antara platform penstriman global itu dengan komuniti penonton di Malaysia.

ARTIKEL BERKAITAN

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Popular