editormaxinfo@gmail.com
KUALA LUMPUR – Sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri tahun ini, Astro terus mengukuhkan kedudukannya sebagai peneraju industri hiburan tempatan dengan mempersembahkan rangkaian kandungan istimewa yang merangkumi televisyen, radio dan platform digital.
Berteraskan tema kempen “Bila Bersama, Lagi Jadi”, Astro menampilkan pelbagai program, telefilem, drama, muzik dan inisiatif komuniti yang direka khas untuk menghidupkan suasana perayaan serta mengeratkan hubungan kekeluargaan dalam kalangan rakyat Malaysia sepanjang musim Syawal.
Kempen Raya Astro tahun ini mengetengahkan konsep kebersamaan sebagai nadi utama sambutan Aidilfitri.
Menerusi pendekatan merentasi pelbagai platform, Astro berusaha menghadirkan pengalaman hiburan yang bukan sahaja menghiburkan, malah menyentuh emosi penonton dengan cerita, muzik dan kandungan yang dekat dengan kehidupan masyarakat.

Bagi menambah nilai estetika sambutan Syawal, Astro turut menampilkan sentuhan fesyen tempatan melalui kolaborasi bersama Novak Batik.
Kerjasama ini menghasilkan visual Raya yang memadukan keindahan batik klasik dengan elemen rekaan kontemporari, sekali gus menonjolkan warisan budaya Malaysia dalam suasana moden.
Gabungan tradisi dan kreativiti ini dilihat selari dengan mesej kempen “Bila Bersama, Lagi Jadi”, yang menekankan bahawa setiap perayaan menjadi lebih bermakna apabila diraikan secara bersama.
Sebagai tradisi tahunan, Astro turut mempersembahkan filem pendek Raya yang menjadi antara tarikan utama setiap musim perayaan.

Tahun ini, iklan Raya bertajuk “Bila Bersama, Lagi Jadi” menampilkan kisah penuh humor dan pengajaran mengenai semangat kebersamaan.
Iklan berdurasi 15 minit itu mengisahkan persaingan lucu antara dua sahabat sekampung, Samad dan Razak, yang berlumba menyiapkan pelita panjut sehingga tanpa sedar memecahbelahkan komuniti kampung mereka.
Namun akhirnya mereka menyedari bahawa semangat sebenar Aidilfitri terletak pada kebersamaan dan perpaduan.
Iklan yang diarahkan oleh Hyrul Anuar daripada Think Tank ini turut dibintangi barisan selebriti terkenal seperti Adlin Aman Ramlie, Faizal Hussein, Bell Ngasri, Noryn Aziz, Azhan Rani, Sharifah Shahirah dan kumpulan ALPHA.
Dalam usaha memeriahkan lagi sambutan Ramadan dan Syawal, Astro turut mempersembahkan beberapa lagu Raya baharu hasil kerjasama bersama Rocketfuel Entertainment.

Antara lagu yang dijangka menjadi pilihan pendengar termasuk “Rindu Raya” nyanyian ALPHA, “Kampung Kita” oleh Wani Kayrie, “Duit Raya” oleh Sharul Kamal dan Mierul Aiman, “Lagu Raya Untukmu” oleh Hael Husaini, “Restu Raya” oleh Nadeera serta “Senyum Gugur di Penghujung Doa” nyanyian Dayang Nurfaizah.
Selain itu, Hael Husaini juga bergandingan bersama ALPHA menerusi lagu “1 Macam Raya”, sekali gus menambah kemeriahan playlist muzik Raya tahun ini.
Naib Presiden Melayu, Antarabangsa, Kanak-Kanak dan On Demand Astro, Azlin Reza Azmi berkata, sambutan Raya tahun ini membawa makna yang lebih mendalam kerana ia menekankan kepentingan hubungan dan kebersamaan dalam kehidupan masyarakat.
“Rangkaian kandungan, lagu perayaan serta inisiatif komuniti yang dilaksanakan menerusi kempen ini bertujuan mengukuhkan nilai keharmonian dan detik bermakna bersama insan tersayang.
“Saya berharap penonton dapat menikmati pelbagai tawaran kandungan yang disediakan Astro sepanjang musim perayaan ini,” katanya.

Di platform televisyen, Astro mempersembahkan sebanyak 16 telefilem khas Raya yang bakal menemui penonton bermula 1 Syawal menerusi Astro Ria.
Barisan telefilem itu menampilkan pelbagai genre daripada drama kekeluargaan hingga komedi dan kisah inspirasi yang menyentuh perasaan.
Antara naskhah yang menjadi perhatian ialah “Dia Bukan Syurga Raya”, sebuah spin-off kepada megadrama popular yang mengisahkan konflik cinta antara dua beradik, serta “Kerikil Depan Rumah” yang membawa kisah tragik tentang trauma selepas jenayah kejam menimpa seorang wanita.
Selain itu, telefilem komedi seperti “Raya Jujur Je” yang menampilkan keluarga Oddah, Sharifah Shahira dan Ijoy buat pertama kali di layar kaca dijangka mencuit hati penonton.

Turut ditampilkan ialah “Seven Untuk Suci”, yang menandakan debut kumpulan ALPHA dalam telefilem, serta “Oh Cerewetnya Datin”, sebuah komedi kekeluargaan mengenai hubungan menantu dan ibu mentua yang penuh cabaran.
Astro Prima pula tidak ketinggalan memeriahkan Syawal dengan barisan telefilem yang sarat emosi dan nilai kekeluargaan.
Antaranya termasuk “Doa Sang Pendosa” yang memaparkan kisah tiga wanita di pusat pemulihan yang cuba berubah menjelang Aidilfitri, “Antara Dua Takbir” yang menyentuh kisah kehilangan dalam keluarga, serta “Lembayung Jiwa” yang menonjolkan pengorbanan seorang ibu demi masa depan anaknya.

Selain telefilem, beberapa drama popular turut diteruskan sepanjang musim perayaan, termasuk musim kedua drama fenomena “Andai Itu Takdirnya”.
Astro juga menampilkan pelbagai program hiburan dan variasi seperti konsert berskala besar, rancangan komedi, program masakan dan rancangan realiti yang menjanjikan hiburan sepanjang musim Syawal.
Bagi peminat sukan, Astro Arena menyediakan program khas Raya yang memaparkan persiapan atlet negara serta sambutan Syawal dalam kalangan mereka.
Antara yang menarik perhatian ialah program “Arena Ketupat Rendang” yang menggabungkan elemen hiburan, perbincangan bola sepak dan suasana rumah terbuka bersama personaliti sukan terkenal negara.
Dalam masa yang sama, Astro turut membawa pengalaman pawagam terus ke rumah menerusi Astro First dengan tayangan filem animasi “Papa Zola The Movie” bermula 19 Mac 2026.

Selain itu, filem “Abah Saya Uncle Mike”, sebuah drama kekeluargaan yang menyentuh hati mengenai erti keluarga sebenar, turut ditawarkan kepada pelanggan bermula 2 April 2026.
Bagi penonton yang gemar menonton di pawagam, Astro Shaw pula menampilkan dua filem baharu sempena musim perayaan iaitu “Malaikat Malam”, sebuah filem aksi romantik yang mengisahkan perubahan hidup seorang mat rempit selepas satu insiden tidak dijangka, serta “Mikael: Pemburu Dua Alam”, sebuah thriller supernatural yang mengangkat kisah seorang anggota polis yang juga pemburu jin.
Di platform digital, Astro Gempak menyediakan pelbagai kandungan khas Raya termasuk siri perjalanan “Travel Balik Utara”, rancangan “Gempak Most Wanted Raya” serta musim baharu “Sayang Ajar Masak Raya”.
Kandungan ini menggabungkan elemen hiburan dan gaya hidup yang dekat dengan pengalaman perayaan masyarakat masa kini.
Sementara itu, Astro Audio turut menyemarakkan sambutan Aidilfitri menerusi pelbagai aktiviti menarik di rangkaian stesen radionya.
Antaranya termasuk acara rumah terbuka Kenduri Raya ERA, program Raya di Pejabat oleh SINAR serta pelbagai inisiatif interaktif yang mendekatkan penyampai radio dengan pendengar di seluruh negara.

Astro Audio juga melancarkan lagu Raya khas berjudul “Inilah Raya” yang menampilkan hampir 20 penyampai radio daripada stesen ERA, SINAR, THR GEGAR dan ZAYAN.
Dalam pada itu, Astro turut meneruskan inisiatif tanggungjawab sosial korporat menerusi program Kami Care Bubur Lambuk yang dijalankan di beberapa lokasi bazar Ramadan sekitar Kuala Lumpur.
Program ini membabitkan penyampai radio Astro Audio yang turun padang mengagihkan bubur lambuk kepada orang ramai sebagai simbol semangat berkongsi rezeki sepanjang Ramadan.
Sebagai kemuncak kepada inisiatif itu, Astro merancang untuk menghimpunkan kesemua 13 stesen Astro Audio dalam satu acara khas yang dijadualkan berlangsung di sebuah masjid di Bangi, Selangor menjelang penghujung Ramadan, sekali gus menutup kempen kebajikan Ramadan dan menyambut kedatangan Syawal dengan semangat kebersamaan.

