27.9 C
Kuala Lumpur
Wednesday, January 14, 2026

‘Juliet’ bukti kematangan Akim & The Majistret

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR – Kumpulan rock alternatif popular tanah air, Akim & The Majistret kembali mengukuhkan kedudukan mereka dalam industri muzik tempatan menerusi pelancaran single terbaharu berjudul Juliet.

Hadir dengan nuansa emosi yang mendalam, karya ini menampilkan sisi keberanian, keikhlasan serta kejujuran perasaan yang sinonim dengan identiti muzik matang kumpulan berkenaan.

Lagu Juliet hasil ciptaan sepenuhnya oleh anggota Akim & The Majistret sendiri, manakala liriknya ditulis oleh Bunga Cantik.

Ia mengangkat naratif cinta yang tidak berpaksikan kesempurnaan, sebaliknya diraikan melalui keberanian untuk jujur terhadap perasaan sendiri serta kesetiaan dalam mempertahankan emosi walaupun berdepan pelbagai cabaran.

Menurut vokalis utama Akim & The Majistret, Akim Ahmad, Juliet membawa makna yang lebih mendalam berbanding sekadar sebuah kisah cinta biasa.

Baginya, lagu ini mencerminkan realiti kehidupan dan hubungan manusia yang sering diuji oleh tekanan persekitaran untuk berpura-pura, sedangkan kejujuran adalah kunci utama dalam mempertahankan perasaan.

Akim turut berkongsi proses rakaman Juliet memberikan pengalaman yang berbeza buat beliau dan seluruh anggota kumpulan.

Lagu ini lahir daripada perbincangan panjang di studio yang menyentuh emosi dan pandangan mereka sebagai manusia, bukan sekadar sebagai pemuzik.

Justeru, mereka berharap pendengar dapat merasai jiwa dan emosi yang disampaikan melalui setiap bait lagu berkenaan.

Pelancaran Juliet hadir selepas beberapa karya terdahulu Akim & The Majistret mencatat kejayaan luar biasa di platform digital.

Lagu Potret misalnya merekodkan sebanyak 33 juta tontonan di YouTube dan kekal menjadi antara lagu paling mendapat permintaan peminat dalam setiap persembahan langsung mereka.

Sementara itu, single Rampas dan Mewangi masing-masing mencatat 18 juta dan 14 juta tontonan di YouTube serta berjaya mengungguli carta radio tempatan.

Kejayaan itu diteruskan menerusi single Saksama yang dilancarkan pada tahun 2023, apabila lagu berkenaan memenangi anugerah Lagu Rock Terbaik di Anugerah Industri Muzik ke-24 serta meraih tempat ketiga di pentas Anugerah Juara Lagu ke-39.

Pencapaian konsisten ini membuktikan kekuatan vokal Akim Ahmad serta keserasian beliau bersama barisan pemuzik The Majistret dalam menghasilkan muzik yang relevan dengan generasi masa kini tanpa mengorbankan elemen keaslian dan ‘jiwa’ karya.

Dengan rekod pencapaian memberangsangkan sebelum ini, Juliet dijangka mampu mengulangi kejayaan single terdahulu dan terus menambat hati pendengar, khususnya peminat setia Akim & The Majistret yang sentiasa menantikan kelainan serta kematangan dalam setiap karya baharu mereka.

Susunan muzik yang kemas, melodi yang kuat serta lirik yang puitis menjadikan Juliet sebuah karya yang bukan sahaja sedap didengar, malah berupaya menyentuh emosi pendengar.

Single Juliet terbitan Nova Music Malaysia kini boleh distrim di semua platform penstriman muzik.

ARTIKEL BERKAITAN

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Popular