editormaxinfo@gmail.com
KUALA LUMPUR – Kes penganiayaan terhadap David Ozora yang berlaku pada tahun 2023 masih segar dalam ingatan masyarakat Indonesia.
Tragedi yang menyaksikan seorang remaja dipukul dengan kejam sehingga koma itu bukan sahaja mengejutkan negara, malah mencetuskan kemarahan awam dan perdebatan besar mengenai keadilan, penyalahgunaan kuasa serta keberanian rakyat untuk bersuara menentang kezaliman.
Berteraskan kisah benar yang menggemparkan itu, sebuah filem berjudul Ozora: Penganiayaan Brutal Penguasa Jaksel diterbitkan sebagai sebuah karya sinematik yang berani membongkar realiti pahit di sebalik tragedi berkenaan.
Filem ini bukan sekadar merakam peristiwa penganiayaan, sebaliknya mengangkat isu ketidakseimbangan sistem perundangan, budaya keistimewaan golongan berkuasa serta kesan mendalam terhadap emosi, psikologi dan spiritual keluarga mangsa.

Diarahkan oleh Umbara Brothers, iaitu Anggy Umbara dan Bounty Umbara, filem ini diterbitkan oleh Umbara Brothers Film dengan sokongan beberapa syarikat produksi lain termasuk VMS Studio, 786 Entertainment, Rumpi Entertainment, Makara Production, A&Z Films dan Dbay Film Factory.
Projek ini turut mencatat sejarah tersendiri apabila mempertemukan kembali Anggy dan Bounty sebagai pengarah bersama selepas sekian lama.
Anggy Umbara berkata, idea pembikinan filem ini tercetus daripada Bounty Umbara dan sejak awal lagi mereka sepakat untuk menampilkan penceritaan yang jujur serta berlapik, tanpa menghilangkan kekuatan emosi kisah sebenar.
Menurutnya, kes David Ozora bukan sahaja menggoncang Indonesia, malah membuka mata masyarakat terhadap perjalanan getir seorang bapa yang terpaksa berdepan hakikat anaknya dianiaya oleh individu yang berlindung di sebalik kekuasaan keluarga.

Filem ini memfokuskan perjuangan Jonathan Latumahina, seorang bapa yang berusaha sedaya upaya menuntut keadilan selepas anaknya, David Ozora, koma akibat penganiayaan kejam.
Dalam usahanya, Jonathan berhadapan sistem perundangan yang dilihat tidak seimbang, sedangkan pelaku terus menerima layanan istimewa kerana pengaruh dan kedudukan bapanya sebagai pegawai kanan kerajaan.
Watak-watak dalam filem ini dihidupkan oleh barisan pelakon berkaliber seperti Chicco Jerikho sebagai Jonathan Latumahina, Muzakki Ramdhan sebagai David Ozora, Erdin Werdrayana sebagai pelaku penganiayaan, serta Tika Bravani, Donny Damara, Annisa Kaila dan Mathias Muchus. Filem ini dijadualkan untuk tayangan di pawagam seluruh Malaysia bermula 22 Januari 2026.

Menurut Anggy Umbara, Ozora: Penganiayaan Brutal Penguasa Jaksel membawa penonton menyelami kesan perundungan dan keganasan dari sudut yang lebih luas, khususnya impak psikologi dan emosi terhadap mangsa serta keluarga terdekat.
Naratif filem ini turut mengetengahkan perjalanan spiritual seorang bapa yang diuji dengan ketidakadilan, selain menampilkan sokongan masyarakat awam sebagai kekuatan kolektif dalam memperjuangkan kebenaran.
Bagi Chicco Jerikho, membawakan watak Jonathan antara cabaran terbesar dalam kerjayanya.

Walaupun tidak sarat dengan aksi fizikal, watak itu menuntut penghayatan emosi yang mendalam dan kawalan perasaan yang tinggi, terutama kerana kisah ini masih segar dalam ingatan masyarakat dan berakar daripada peristiwa sebenar.
Sebagai sebuah filem yang diinspirasikan daripada kisah benar, Ozora: Penganiayaan Brutal Penguasa Jaksel tampil sebagai sebuah karya yang bukan sahaja mengingatkan masyarakat tentang bahaya perundungan dan keganasan, malah mengangkat kekuatan solidariti rakyat dalam menentang ketidakadilan.

Filem ini turut menjadi seruan kepada orang ramai agar tidak berdiam diri, sebaliknya menggunakan ruang awam dan digital untuk bersuara apabila berhadapan dengan penyalahgunaan kuasa, demi memastikan keadilan terus ditegakkan.

