editormaxinfo@gmail.com
KUALA LUMPUR – Konsert Legacy 30 Siti Nurhaliza: Passion, Sincere and Love menyaksikan penyanyi tersohor negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza, sekali lagi membuktikan statusnya sebagai biduanita unggul apabila tampil dengan aksi luar biasa membabitkan lompatan, ‘terbang’ dan persembahan dari atas kren di hadapan 65,000 peminat yang memenuhi setiap ruang Stadium Nasional Bukit Jalil, pada malam Sabtu lalu.
Malam bersejarah itu membuka tirai dengan momen dramatik apabila Siti muncul menyanyikan lagu Purnama Merindu dari atas kren yang menjulang tinggi, satu visual berani dan simbolik yang mencerminkan perjalanan seninya merentas tiga dekad penuh cabaran, kecekalan dan kejayaan.
Persembahan pembukaan itu segera mencetuskan sorakan gemuruh penonton yang terpukau dengan keberanian dan komitmen luar biasa penyanyi legenda itu.

Konsert gilang-gemilang ini turut diserikan dengan kehadiran Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin, selain barisan selebriti tanah air antaranya Ella, Dayang Nurfaizah, Hael Husaini, Aina Abdul, Rozita Che Wan serta ramai lagi tokoh industri hiburan.
Selain rangkaian lagu popular yang menjadi nadi kerjaya Siti, konsert ini turut menampilkan segmen video tribute yang mengimbau perjalanan awal beliau dalam dunia seni, bermula dari era kemunculan sehingga meniti kejayaan dekad ke-10, 20 dan kini 30 tahun dalam industri muzik.

Segmen berkenaan memberi gambaran jelas tentang evolusi seni Siti Nurhaliza yang kekal relevan merentas generasi.
Konsert Legacy 30 juga menjadi pentas pembuktian bahawa Siti Nurhaliza masih unggul sebagai ikon muzik negara, dengan susunan persembahan yang kemas, bertenaga dan penuh emosi.

Dalam keterujaan malam itu, Siti turut mengumumkan perancangannya untuk mengadakan konsert tradisional pada masa akan datang, satu langkah yang disambut dengan tepukan gemuruh peminat setianya.
“Jumpa anda di konsert tradisional nanti,” katanya.
Namun tarikh dan bilakah masanya belum ditetapkan lagi.

Lebih istimewa, penghujung konsert menyaksikan Siti diraikan sempena ulang tahun kelahirannya yang ke-47, menjadikan malam itu bukan sekadar perayaan seni, malah detik peribadi yang penuh makna buat beliau.
Konsert ini turut dimeriahkan dengan kehadiran barisan artis jemputan termasuk Umairah, Hafiz Suip, Noh Salleh dan Cakra Khan yang bergandingan bersama Siti dalam beberapa segmen duet istimewa.

Turut mencuri perhatian ialah kemunculan artis baharu, Auddra Zulkifli atau Odah, yang juga bakat baharu di bawah naungan SN Legacy Sdn Bhd, sekali gus menandakan kesinambungan legasi seni yang dibina Siti.
Sepanjang hampir tiga jam persembahan, penonton dibawa menyusuri perjalanan emosi melalui susunan lagu yang merangkumi balada, pop, serta elemen tradisional, sebelum konsert ditutup dengan gabungan lagu ikonik Cindai dan Nirmala yang meninggalkan kesan mendalam kepada peminat.

Secara keseluruhan, Legacy 30 bukan sekadar sebuah konsert, tetapi sebuah perayaan seni yang merangkum nostalgia, ketahanan dan cita-cita baharu Datuk Seri Siti Nurhaliza, menandakan bahawa legasi beliau dalam industri muzik tanah air terus utuh dan tidak pernah pudar.



https://shorturl.fm/9cEMx