editormaxinfo@gmail.com
SEPANG – Keperluan majikan terhadap graduan masa kini semakin berubah sejajar dengan landskap pekerjaan yang kian mencabar dan kompetitif.
Kecemerlangan akademik semata-mata tidak lagi menjadi ukuran utama, sebaliknya graduan yang memiliki kemahiran praktikal, nilai profesional serta penguasaan pelbagai bahasa semakin mendapat perhatian dalam pasaran kerja.
Ketua Pegawai Eksekutif Agensi Kelayakan Malaysia (MQA), Prof. Datuk Dr. Mohammad Shatar Sabran, berkata majikan kini lebih cenderung memilih graduan yang mampu menyesuaikan diri dengan keperluan industri, berfikiran praktikal dan mempunyai kebolehan komunikasi yang baik merentasi budaya serta bahasa.
“Perubahan ini menuntut institusi pendidikan tinggi (IPT) untuk menilai semula pendekatan pengajaran dan pembelajaran agar lebih selari dengan kehendak industri semasa.
“Penekanan tidak seharusnya terhad kepada penguasaan teori, sebaliknya perlu memberi ruang kepada pelajar untuk mengaplikasikan pengetahuan dalam situasi dunia sebenar, khususnya melalui latihan industri dan pembelajaran berasaskan pengalaman.
“Keputusan akademik yang cemerlang sahaja tidak lagi menjamin kebolehpasaran graduan. Walaupun memiliki ijazah kelas pertama, seseorang graduan masih boleh berdepan kesukaran mendapatkan pekerjaan sekiranya tidak mempunyai kemahiran tambahan, sikap profesional dan keupayaan menyesuaikan diri dalam persekitaran kerja sebenar,” katanya.

Sehubungan itu, Mohammad Shatar menekankan kepentingan penerapan konsep 3L iaitu Learn by Seeing, Learn by Doing dan Learn by Listening sebagai asas kepada transformasi sistem pengajaran dan pembelajaran di IPT.
Pendekatan ini dilihat mampu melahirkan graduan yang lebih bersedia menghadapi cabaran dunia pekerjaan serta memenuhi jangkaan majikan.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ceramah umum bertajuk ‘Let’s Us Make UiTM Greater’ yang menghimpunkan pensyarah serta kakitangan Universiti Teknologi MARA (UiTM) secara fizikal dan dalam talian dari seluruh kampus universiti itu di negara ini.
Turut hadir ialah Naib Canselor UiTM, Prof. Ts. Dr. Shahrin Sahib @ Sahibuddin bersama barisan pengurusan tertinggi universiti.
Selain kemahiran teknikal, Mohammad Shatar turut menekankan penguasaan pelbagai bahasa asing kini menjadi antara kelebihan utama yang dicari majikan, khususnya dalam sektor antarabangsa dan syarikat multinasional.

Graduan yang mampu menguasai tiga hingga lima bahasa dilihat mempunyai kelebihan daya saing kerana berupaya berkomunikasi secara efektif merentas budaya dan pasaran global.
“Penguasaan bahasa asing bukan sahaja meningkatkan kebolehpasaran graduan, malah membuka lebih banyak peluang kerjaya di peringkat antarabangsa serta dalam syarikat bertaraf global.
“Keupayaan ini juga mampu menyokong aspirasi negara untuk memperkukuh kedudukan Malaysia sebagai hab pendidikan global,” katanya.
Katanya, sekiranya usaha ini dapat dilaksanakan secara menyeluruh dan berterusan, beliau yakin ia mampu menyumbang secara signifikan kepada agenda nasional dalam memperkasakan sistem pendidikan tinggi, selaras dengan hasrat Menteri Pendidikan, Datuk Seri Diraja Dr. Zambry Abd Kadir.


https://shorturl.fm/8UdRy