editormaxinfo@gmail.com
SEPANG – Amalan tabayyun atau menyemak kesahihan sesuatu maklumat perlu dijadikan benteng utama masyarakat bagi mengelakkan diri daripada terpengaruh dengan berita palsu yang semakin berleluasa di media sosial.
Sikap berhati-hati ini amat penting dalam era digital yang menyaksikan maklumat tersebar pantas tanpa sempadan masa dan jarak.
Pakar sosial, Prof. Datuk Dr. Mohammad Shatar Sabran berkata, kehadiran media sosial sememangnya membawa banyak manfaat kerana memudahkan masyarakat memperoleh ilmu dan maklumat dalam pelbagai bidang.
Namun begitu, beliau menegaskan sifat platform digital yang terbuka menyebabkan tidak semua maklumat yang disebarkan melalui medium terbabit melalui proses penapisan yang sewajarnya.
Menurutnya, ketiadaan kawalan khusus dalam penyebaran maklumat menjadikan setiap berita yang diterima tidak boleh dianggap benar sepenuhnya tanpa semakan lanjut daripada sumber asal yang sahih.
Justeru, masyarakat perlu lebih bertanggungjawab dalam menilai dan menapis setiap maklumat sebelum mempercayai atau menyebarkannya kepada orang lain.
“Setiap individu perlu mengamalkan tabayyun dengan merujuk kepada sumber yang berautoriti dan boleh dipercayai.
“Kegagalan berbuat demikian bukan sahaja memberi kesan negatif kepada pembangunan diri, malah boleh menjejaskan keharmonian dan kesejahteraan masyarakat secara keseluruhan,” katanya.
Beliau yang juga Ketua Pegawai Eksekutif Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) berkata, pihak tidak bertanggungjawab sering mengambil kesempatan untuk menyebarkan maklumat palsu demi kepentingan tertentu serta agenda tersembunyi.
Keadaan ini, katanya, semakin membimbangkan kerana kesan maklumat palsu pada masa kini lebih berbahaya berbanding masa lalu.
Dr. Mohammad Shatar berkata, penyebaran maklumat palsu mampu memesongkan pemikiran masyarakat tanpa memerlukan kekuatan fizikal, sekali gus menjadikannya satu bentuk penjajahan minda.
Fenomena ini digunakan untuk merosakkan persepsi awam, menjejaskan pembangunan sosial dan melemahkan nilai kepercayaan dalam masyarakat.
Beliau turut memberi amaran bahawa maklumat palsu bukan sahaja boleh memusnahkan kerjaya seseorang individu, malah berpotensi mengganggu kestabilan negara sekiranya tidak dibendung.
Oleh itu, kesedaran mengenai kepentingan tabayyun perlu diterapkan secara meluas agar masyarakat tidak mudah terpengaruh dengan maklumat yang mengelirukan dan memesongkan.
“Setiap maklumat yang diperoleh perlu dinilai dari segi kebenaran serta manfaatnya terhadap pembangunan diri dan kesejahteraan negara.
“Sikap tabayyun bukan pilihan, tetapi satu keperluan dalam membina masyarakat yang berilmu, beretika dan bertanggungjawab,” katanya.

