editormaxinfo@gmail.com
SELAYANG – Yayasan PEKEMA terus memperkukuh komitmennya dalam menyantuni golongan kurang berkemampuan menerusi pelaksanaan Program Kembali ke Sekolah 2026.
Ia adalah inisiatif tanggungjawab sosial korporat (CSR) yang bertujuan meringankan beban kewangan keluarga menjelang sesi persekolahan baharu.
Program berkenaan memberi manfaat kepada pelajar daripada keluarga berpendapatan rendah melalui sumbangan beg sekolah dan kelengkapan persekolahan asas, sekali gus membantu meningkatkan keyakinan diri serta semangat anak-anak untuk memulakan alam persekolahan dalam suasana yang lebih positif dan terancang.
Bagi pelaksanaan di Zon 10 Majlis Perbandaran Selayang (MPS), seramai 500 pelajar sekolah rendah dan menengah dari kawasan Selayang telah dipilih sebagai penerima manfaat.

Program Back To School 2026 itu berlangsung di Dewan Sri Siantan, Jalan Sungai Tua, dengan penglibatan aktif pelbagai pihak yang berkongsi aspirasi sama dalam memperkasa pendidikan masyarakat.
Program ini dianjurkan oleh Yayasan PEKEMA dengan kerjasama Pusat Khidmat Masyarakat Zon 10 Majlis Perbandaran Selayang serta Kelab Sukan dan Rekreasi PEKEMA (KRESMA), sekali gus mencerminkan keprihatinan berterusan PEKEMA terhadap aspek kebajikan dan pendidikan sebagai asas pembangunan masyarakat yang mampan.
Majlis penyerahan sumbangan telah disempurnakan dengan kehadiran Anfaal Saari, Exco Pembangunan Wanita dan Masyarakat Negeri Selangor merangkap Ahli Dewan Negeri Taman Templer.
Turut hadir ialah barisan kepimpinan PEKEMA, wakil agensi kerajaan, rakan strategik serta para penerima manfaat program.

Presiden Persatuan Pengimport dan Peniaga Kenderaan Melayu Malaysia (PEKEMA), Datuk Mohamed Nazari Noordin, berkata penganjuran program itu bukan sekadar acara tahunan, sebaliknya mencerminkan komitmen berterusan PEKEMA dan Yayasan PEKEMA dalam melaksanakan inisiatif yang memberi impak langsung kepada kesejahteraan masyarakat.
Menurut beliau, bagi pelaksanaan sepanjang tahun 2026, PEKEMA menyasarkan seramai 10,000 pelajar di seluruh Semenanjung Malaysia untuk menerima manfaat melalui sumbangan beg sekolah dan kelengkapan persekolahan, yang akan disalurkan secara berperingkat mengikut zon dan lokasi terlibat.
“Menjelang sesi persekolahan baharu, masih ramai ibu bapa dan penjaga berdepan cabaran kewangan.
“Justeru sumbangan yang disalurkan diharap dapat membantu meringankan beban mereka.
“Pada masa yang sama, inisiatif ini turut menyemai kesedaran dalam kalangan masyarakat bahawa pendidikan merupakan aset terpenting dalam membina masa depan generasi muda dan negara,” katanya.

Mohamed Nazari berkata, sebagai organisasi yang mewakili pemain industri automotif Bumiputera, PEKEMA bukan sahaja memberi tumpuan kepada pembangunan ekonomi dan keusahawanan, malah turut menitikberatkan aspek kebajikan, pendidikan serta kesejahteraan sosial sebagai sebahagian daripada tanggungjawab korporat yang berterusan.
Sementara itu, Ahli Majlis Zon 10 Majlis Perbandaran Selayang, Ahmad Zahiri Zahid Sofian, menyifatkan kerjasama antara Yayasan PEKEMA, Pusat Khidmat Masyarakat Ahli Majlis Zon 10 MPS dan KRESMA sebagai bukti komitmen pelbagai pihak dalam memastikan kebajikan masyarakat setempat sentiasa diberi keutamaan.

Katanya, usaha kolaboratif seperti ini membolehkan bantuan kebajikan dan sokongan pendidikan disalurkan secara lebih berkesan kepada golongan yang memerlukan, khususnya pelajar, sekali gus menyokong pembangunan generasi muda yang berdaya saing dan bersedia menghadapi cabaran masa depan.
Program Kembali ke Sekolah 2026 ini turut menerima sokongan padu daripada ahli-ahli PEKEMA, sukarelawan serta rakan strategik, sekali gus membuktikan semangat kerjasama yang kukuh dalam memastikan kebajikan masyarakat dan akses kepada pendidikan terus diperkasakan.

