27.8 C
Kuala Lumpur
Thursday, November 27, 2025

ToyyibPay, Yayasan Restu lancar portal Waqf Digital satu juta al-Quran global

editormaxinfo@gmail.com

PUTRAJAYA – ToyyibPay Sdn Bhd hari ini memeterai Perjanjian Usaha Sama (MoA) dengan Yayasan Restu bagi membangunkan Portal Waqf Digital yang selamat, telus dan patuh shariah.

Inisiatif ini bertujuan memperkukuh program Waqf al-Quran di peringkat global dengan sasaran menyediakan satu juta naskhah al-Quran kepada komuniti memerlukan di seluruh dunia.

MoA itu disempurnakan oleh Pengerusi ToyyibPay Sdn Bhd Datuk Dr. Mazlan Ahmad dan Pengerusi Eksekutif Yayasan Restu Datuk Abdul Latif Mirasa, bertempat di Kompleks Nasyrul Quran, Putrajaya.

Kerjasama ini menyatukan kepakaran ToyyibPay dalam pembayaran digital patuh shariah dengan pengalaman Yayasan Restu dalam percetakan, penjagaan dan pengedaran al-Quran secara global.

Dalam ucapannya, Dr. Mazlan Ahmad berkata, projek Satu Juta al-Quran ini adalah tindak balas Malaysia terhadap insiden pembakaran al-Quran di Sweden.

Susulan peristiwa itu, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim telah mengumumkan pada tahun 2023 bahawa Malaysia berikrar menghantar satu juta naskhah al-Quran ke seluruh dunia sebagai simbol sokongan dan solidariti umat Islam.

“Usaha sama ini mencerminkan komitmen strategik untuk meningkatkan ketelusan, capaian dan impak penyediaan waqf al-Quran.

“Dengan menggabungkan misi Yayasan Restu dan keupayaan digital ToyyibPay, kami membina platform yang selamat, mudah diakses dan patuh shariah, membolehkan pewakaf di seluruh dunia menyumbang dengan yakin.

“Harapan kami, setiap sumbangan akan memberi manfaat berkekalan kepada generasi akan datang,” katanya.

Sementara itu, Abdul Latif berkata, MoA ini bukan sekadar perjanjian, tetapi membawa amanah dan harapan agar mesej Aal-Quran dapat disampaikan kepada lebih ramai insan di Malaysia dan antarabangsa.

“Yayasan Restu telah memikul tanggungjawab dalam penyampaian al-Quran dan pendidikan selama lebih 30 tahun.

“Projek Satu Juta Waqf al-Quran bersama ToyyibPay bakal meneruskan momentum ini dengan platform digital yang lebih mudah dan dipercayai, membolehkan lebih ramai penyumbang menyertai usaha murni ini,” katanya.

Kerjasama ini memanfaatkan rangkaian ToyyibPay yang melebihi 200,000 peniaga serta lebih 5,000 masjid dan institusi Islam, sekaligus memperluas pasaran pewakaf dan komuniti Muslim digital di Asia, Timur Tengah, Afrika, Eropah, dan Amerika.

Sejak 2023, Yayasan Restu telah mengedarkan naskhah terjemahan al-Quran dalam 30 bahasa, memberi manfaat kepada lebih 20 negara termasuk Amerika Syarikat, Afrika Selatan, India dan Nigeria, dengan rancangan untuk menambah lebih banyak bahasa bagi meningkatkan capaian global.

Majlis hari ini juga menyaksikan ToyyibPay menandatangani tiga lagi MoU strategik bersama Namirial untuk modul keselamatan digital eKYC, Kirarafics bagi perkhidmatan wasiat digital dan Masjid Pro untuk aplikasi pengurusan masjid.

Dr. Mazlan Ahmad berkata, pihaknya menzahirkan penghargaan kepada pasukan ToyyibPay dan Yayasan Restu atas dedikasi serta profesionalisme mereka dan mendoakan agar kerjasama ini terus memberi manfaat kepada ummah dengan keikhlasan, kecemerlangan dan integriti.

ARTIKEL BERKAITAN

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Popular