29.6 C
Kuala Lumpur
Wednesday, November 12, 2025

Didakwa aniaya pengusaha wanita, Dr Kalaivanar tuntut penjelasan bank dalam tempoh 14 hari

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR – Sekretariat Bahana Kesetiaan Negara (SBKN) menggesa sebuah bank utama negara, yang dirujuk sebagai Bank P, agar segera memberi penjelasan berhubung dakwaan tindakan tidak adil terhadap seorang pengusaha wanita, Pavalla Raani Sanggaya yang didakwa menjadi mangsa penindasan institusi kewangan terbabit.

Mewakili SBKN, Dato Dr Kalaivanar yang juga aktivis sosial berkata, kes membabitkan pembelian sebuah rumah dua tingkat oleh Pavalla pada tahun 2008 dengan harga RM410,000.

Pavalla telah membuat pinjaman perumahan bernilai RM390,000 daripada Bank P dengan kadar bayaran bulanan ditetapkan sebanyak RM1,800 berdasarkan perjanjian jual beli (S&P) yang ditandatangani pada tahun sama.

Bagaimanapun, selepas beberapa tahun pembayaran dibuat dengan konsisten, kadar ansuran bulanan didakwa dinaikkan secara berperingkat oleh pihak bank daripada RM1,800 kepada RM2,700 bermula tahun 2013 dan kemudian meningkat lagi kepada RM3,100 sebelum pandemik Covid-19.

Apa yang lebih mengejutkan, ketika tempoh moratorium yang sepatutnya memberi kelonggaran pembayaran pinjaman kepada peminjam semasa pandemik, Pavalla mendakwa dia tetap dikerah untuk membuat bayaran bulanan, termasuk dikenakan faedah serta caj tambahan.

“Dalam tempoh moratorium sahaja, jumlah bayaran yang dibuat oleh Pavalla dianggarkan mencecah RM140,000, walaupun sepatutnya pembayaran ditangguhkan.

“Namun begitu, caj faedah dan bunga terhadap prinsipal masih dikenakan oleh bank,” katanya.

Dr Kalaivanar berkata, setakat ini, pengusaha wanita itu dilaporkan telah membayar lebih RM495,000 sepanjang tempoh 18 tahun pinjaman dan tidak pernah gagal menjelaskan bayaran bulanan mahupun menghadapi tindakan lelong terhadap rumahnya.

Namun begitu, apabila beliau cuba untuk melunaskan baki pinjaman pada Oktober 2024 dengan bayaran RM100,000 hasil daripada pendapatan perniagaannya, bank didakwa enggan menerima bayaran terbabit.

Sebaliknya, dia diberitahu bahawa jumlah prinsipal yang masih perlu dilangsaikan adalah sebanyak RM605,290, iaitu angka yang jauh melebihi jumlah asal pinjaman.

“Bagaimana mungkin seseorang yang telah membayar hampir setengah juta ringgit untuk rumah bernilai RM410,000 masih berhutang lebih RM600,000 selepas 18 tahun?,” katanya.

Dr Kalaivanar menyifatkan tindakan bank itu sebagai membebankan pengguna dan tidak telus, serta menuntut agar penjelasan rasmi diberikan dalam tempoh 14 hari bekerja.

Antara tuntutan yang dikemukakan ialah pihak bank perlu mendedahkan penyata penuh pinjaman termasuk kadar Base Lending Rate (BLR) dan Overnight Policy Rate (OPR) yang digunakan, serta butiran caj dan kadar faedah yang dikenakan sepanjang tempoh pembiayaan.

Menurutnya, situasi yang dihadapi oleh Pavalla bukanlah kes terpencil, sebaliknya menggambarkan trend kebimbangan dalam kalangan rakyat terhadap sistem pinjaman perumahan yang dianggap tidak berpihak kepada pelanggan.

“Ramai rakyat yang membuat pinjaman rumah menjadi mangsa kepada ketidaktelusan institusi kewangan.

“Pavalla membayar dengan konsisten setiap bulan, namun jumlah hutang terus meningkat. Ini menimbulkan persoalan besar tentang mekanisme pengiraan faedah dan amalan pengurusan pinjaman oleh bank-bank di Malaysia,” katanya.

Dr Kalaivanar juga menggesa semua Ahli Parlimen agar memberi perhatian terhadap isu ini kerana ia bukan sekadar masalah individu, tetapi juga mencerminkan masalah sosial dan ekonomi rakyat yang terhimpit akibat amalan institusi kewangan yang tidak telus.

“Rakyat berhak mendapat penjelasan dan perlindungan yang adil. Moratorium sepatutnya membantu, bukan menjerat. Kami mahu bank-bank besar bertanggungjawab dan menghormati hak pelanggan,” katanya.

Dr Kalaivanar berkata, pihaknya akan terus memperjuangkan keadilan untuk mangsa-mangsa yang teraniaya dan tidak akan teragak-agak untuk mengadakan tindakan lanjut termasuk menyerahkan memorandum kepada pihak berkuasa berkaitan sekiranya isu ini tidak diselesaikan dalam tempoh masa yang diberikan.

ARTIKEL BERKAITAN

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Popular