editormaxinfo@gmail.com
KUALA LUMPUR – Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) mengumumkan pelantikan semula Dato’ Azmir Saifuddin Mutalib sebagai Ketua Pegawai Eksekutif FINAS bagi tempoh dua tahun bermula 1 November 2025 hingga 31 Oktober 2027.
FINAS dalam satu kenyataan berkata, Azmir merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Menteri Komunikasi, Timbalan Menteri Komunikasi, Dato’ Seri Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi, Pengerusi FINAS serta Ahli-Ahli Perbadanan FINAS atas kepercayaan dan sokongan berterusan yang diberikan kepadanya.
Beliau turut menzahirkan penghargaan kepada seluruh warga kerja FINAS serta rakan-rakan industri yang sentiasa berganding bahu dalam memperkasa pertumbuhan sektor kreatif negara.
Menurut Azmir, penggal kedua kepimpinannya akan memberi tumpuan kepada beberapa inisiatif strategik bagi memperkukuh ekosistem industri filem tanah air.
“Antara fokus utama termasuk pindaan Akta FINAS 1981 (Akta 244) yang akan memperkemas perundangan serta tadbir urus industri bagi melindungi kebajikan kru produksi, memodenkan sistem perlesenan dan menyokong model pekerjaan kreatif yang lebih progresif.
“Selain itu, pelaksanaan Dasar Perfileman Negara (DFN) 2025–2035 akan menjadi teras kepada pembangunan industri bagi tempoh sepuluh tahun akan datang.
“Dasar ini bertujuan menjadikan Malaysia sebagai hab kreatif serantau melalui pemerkasaan hak harta intelek (IP), peningkatan kerjasama filem antarabangsa, pembangunan produser dan showrunner tempatan, serta pengukuhan naratif kebangsaan menerusi kolaborasi strategik bersama institusi Pendidikan,” katanya.
Sebagai galakan tambahan, Insentif Galakan Industri Filem bernilai RM110 juta turut disediakan bagi menarik penerbit tempatan dan antarabangsa menghasilkan karya berkualiti di Malaysia.
“Daripada jumlah itu, RM10 juta diperuntukkan khusus bagi kandungan berteraskan semangat kenegaraan dalam usaha memperkukuh jati diri dan identiti nasional melalui medium kreatif.
“FINAS juga akan memperkenalkan Dana Belia Kreatif MADANI, sebuah inisiatif bagi melahirkan generasi pencipta kandungan muda yang berilmu, bertanggungjawab dan berjiwa patriotik.
“Program ini akan memberi tumpuan kepada pembangunan bakat belia kampus serta komuniti di seluruh negara, sejajar dengan matlamat kerajaan untuk merakyatkan industri kreatif,” katanya.
Sepanjang penggal pertama kepimpinannya dari tahun 2023 hingga 2025, Azmir berjaya membawa FINAS ke arah pemulihan ekosistem pasca pandemik dengan memastikan kelangsungan operasi pawagam dan rantaian perniagaan produksi melalui kerjasama erat bersama penggiat industri.
Filem tempatan turut mencatat pertumbuhan kukuh dengan kutipan mencecah RM180 juta sehingga Oktober 2025, mengatasi filem Hollywood selama tiga tahun berturut-turut di pasaran domestik.
Antara kejayaan lain termasuk pelaksanaan Skim Wajib Tayang, yang meningkatkan keyakinan penonton terhadap karya tempatan, serta pengiktirafan di peringkat antarabangsa melalui kejayaan filem seperti Abang Adik, Tiger Stripes, Raintown dan Imam yang berjaya menembusi pelbagai festival filem global.
Dalam tempoh dua tahun akan datang, Malaysia berada dalam kedudukan strategik di rantau ASEAN dengan ekosistem pawagam yang stabil dan potensi pertumbuhan jangka panjang.
“Platform penstriman antarabangsa seperti iQiyi, Viu, Astro dan Netflix terus menunjukkan komitmen melabur dalam kandungan tempatan, manakala siri popular seperti Bidaah, One Cent Thief dan Nenek Si Bongkok Tiga membuktikan bahawa pasaran kreatif Malaysia semakin mendapat perhatian global.
“FINAS turut memperkasa Skim Co-Production Antarabangsa dan memperkenalkan Model Pembiayaan Filem (Film Financing Model) baharu bagi menarik pelaburan serantau serta antarabangsa, sekali gus mengukuhkan kedudukan Malaysia sebagai hab perfileman Asia Tenggara,” katanya.
Dalam pada itu, Malaysia turut menjadi saksi kepada lahirnya Deklarasi Belia Kreatif ASEAN semasa ASEAN Film & TV Summit 2025.
Deklarasi terbabit mencerminkan komitmen generasi muda rantau ini terhadap integriti kreatif, keterangkuman budaya dan kepelbagaian naratif sinema Asia Tenggara, sekali gus menegaskan peranan Malaysia sebagai peneraju kepimpinan budaya serantau.
Menutup kenyataannya, Azmir berkata, FINAS kini tampil dengan wajah baharu yang lebih dinamik dan mesra industri.
“Melalui pindaan Akta FINAS dan pelaksanaan semula Dasar Perfileman Negara yang diperbaharui, beliau bertekad memastikan perkhidmatan FINAS lebih cekap, telus dan berimpak tinggi.
“FINAS turut berhasrat memperkukuh fasiliti teknologi di Hulu Kelang sebagai pusat kecemerlangan produksi, di samping memperluas infrastruktur kandungan di Sabah dan Sarawak bagi membangunkan jenama Borneo Content di peringkat antarabangsa.
“FINAS komited untuk merakyatkan industri filem Malaysia sebagai industri yang dinamik, mampan dan inklusif.
“Kami mahu memastikan industri ini bukan sahaja diiktiraf di peringkat global, tetapi turut mencerminkan identiti pelbagai bangsa dan menyumbang kepada perpaduan serta ekonomi negara,” katanya.

