editormaxinfo@gmail.com
PETALING JAYA – Selepas kejayaan cemerlang konsert sulungnya pada tahun lalu, Persatuan Pemuzik Malaysia (Musicians for Musicians, MFM) sekali lagi mengangkat martabat golongan Orang Kurang Upaya (OKU) menerusi penganjuran konsert istimewa Unveiling Uniqueness 2: A Musical Celebration of Diversity pada Sabtu, 15 November 2025.
Konsert yang bakal berlangsung di The British International School of Kuala Lumpur dari jam 7 malam hingga 9.30 malam itu menjanjikan persembahan yang lebih besar, lebih berwarna dan sarat dengan mesej perpaduan, inklusiviti serta penghargaan terhadap kepelbagaian bakat.
Pengerusi Penganjur, Edwin Nathaniel berkata, konsert kali ini memperkenalkan beberapa kelainan berbanding edisi terdahulu, termasuk penglibatan penari Down Syndrome, susunan lagu yang lebih mencabar, serta penyertaan artis rakaman profesional bagi memberikan peluang kepada pemuzik OKU tampil seiring dengan idola mereka.
“Tahun ini kami menampilkan persembahan yang lebih bertenaga dan menyentuh hati.
“Bukan sahaja mereka akan bermain muzik dan menyanyi, malah mereka turut digandingkan bersama artis terkenal tanah air seperti Dato’ Francissca Peter dan Frankie Tan.
“Ia satu pengalaman yang bukan sahaja unik, tetapi juga memberi inspirasi,” katanya.

Antara peserta yang bakal membuat persembahan ialah Raees Aryan Ezmir, seorang remaja autisme yang akan menyanyi sambil bermain piano.
Menurut ibunya, Irin Putri Azmi, pengalaman ini sangat bermakna kerana anaknya akan tampil bersama-sama band yang terdiri daripada pemuzik pelbagai latar belakang termasuk mereka yang juga OKU serta yang tidak.
“Kebiasaannya Raees hanya membuat persembahan secara solo. Tapi di Unveiling Uniqueness 2, dia akan diiringi oleh pemain dram, gitar, bass dan sebagainya.
“Ini bukan sahaja meningkatkan keyakinan dirinya, malah memberi peluang untuk berkolaborasi dengan pemuzik lain dalam suasana yang lebih profesional,” katanya.
Sebanyak lebih 30 peserta dari seluruh negara termasuk dari Kelantan dan Lembah Klang telah dipilih untuk menjayakan konsert ini.

Mereka dipilih berdasarkan persembahan cemerlang dalam edisi pertama, sekali gus tidak memerlukan sesi uji bakat baharu.
Semua peserta terbabit secara sukarela dan melalui proses rakaman video untuk pemilihan awal.
Konsert ini turut mendapat sokongan padu daripada pihak The British International School of Kuala Lumpur yang menyediakan lokasi penganjuran sebagai sebahagian daripada inisiatif tanggungjawab sosial korporat (CSR) mereka.
“Kami sangat bersyukur kerana mendapat sokongan daripada pihak sekolah ini.
“Kapasiti tempat juga lebih besar berbanding lokasi tahun lalu. Ini membolehkan lebih ramai penonton hadir untuk meraikan malam yang penuh makna ini,” kata Edwin lagi.
Gabungan persembahan moden dan tradisional menjadikan Unveiling Uniqueness 2 sebuah konsert yang bukan sahaja menghiburkan, malah mendidik dan membuka mata masyarakat tentang keupayaan sebenar golongan OKU dalam bidang muzik dan seni persembahan.
Tiket berharga RM80 kini boleh dibeli secara dalam talian melalui pautan khas yang disediakan oleh pihak penganjur.
Hasil kutipan tiket akan digunakan sepenuhnya untuk menyokong usaha MFM dalam menyediakan platform kepada pemuzik kurang upaya di seluruh negara.

“Kami amat berbesar hati kerana selebriti ikonik ini sanggup meminjamkan suara dan kehadiran mereka untuk memperkasakan pemuzik OKU.
“Ini bukan sahaja tentang muzik, tetapi juga tentang memberi pengiktirafan yang sewajarnya kepada bakat yang sering kali dipandang sebelah mata,” katanya.
MFM mengalu-alukan kehadiran orang ramai untuk bersama-sama menyokong dan menyaksikan malam penuh inspirasi ini.
Konsert Unveiling Uniqueness 2 dijangka menjadi simbol harapan, semangat dan bukti bahawa bakat tidak mengenal batas fizikal atau mental.
Untuk maklumat lanjut dan kemas kini, sila layari halaman Facebook rasmi: Unveiling Uniqueness