34.8 C
Kuala Lumpur
Tuesday, February 3, 2026

Tiada ‘kursus lelong’, semua program akreditasi dijamin berkualiti dan relevan pasaran kerja – MQA

editormaxinfo@gmail.com

SEPANG – Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) menegaskan semua program pengajian tinggi yang telah mendapat akreditasi dijamin memenuhi piawaian kualiti serta kekal relevan dengan keperluan pasaran kerja semasa.

Ketua Pegawai Eksekutif MQA, Prof. Datuk Dr. Mohammad Shatar Sabran berkata, pihaknya menolak dakwaan segelintir pihak mengenai kewujudan apa yang digelar sebagai ‘kursus lelong’ di institusi pendidikan tinggi (IPT), sambil menyifatkan tuduhan itu sebagai tidak berasas dan mengelirukan masyarakat.

Menurutnya, setiap program pengajian yang ditawarkan di IPT, sama ada awam mahupun swasta, wajib melalui proses penilaian menyeluruh yang merangkumi kajian pasaran, reka bentuk kurikulum, kelayakan tenaga pengajar serta penyediaan kemudahan fizikal dan akademik.

Proses ini dilaksanakan dengan teliti sebelum sesuatu program itu diluluskan dan diberikan akreditasi rasmi oleh MQA.

“Penilaian yang dijalankan oleh MQA turut meliputi aspek kandungan, pendekatan pengajaran dan hasil pembelajaran bagi memastikan graduan yang dilahirkan mempunyai tahap kebolehpasaran yang tinggi,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas majlis perasmian Persidangan Memperkasa Kepimpinan 2.0: Kecerdasan Buatan – Era Baharu Kepimpinan, anjuran Universiti Malaysia Sabah (UMS) yang dirasmikan oleh Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr. Zambry Abd Kadir.

Turut hadir dalam persidangan itu ialah Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT), Datuk Dr. Anesee Ibrahim; Pengarah Akademi Kepimpinan Pendidikan Tinggi (AKEPT), Prof. Dr. Harshita Aini Haroon; dan Naib Canselor UMS, Prof. Datuk Dr. Kasim Mansor.

Mohammad Shatar berkata, semua program yang ditawarkan di IPT perlu disemak secara berkala, lazimnya dalam tempoh tiga hingga lima tahun sekali.

Bagi bidang yang mengalami perubahan pesat seperti teknologi maklumat dan komunikasi, semakan boleh dilakukan lebih awal bagi memastikan kurikulumnya kekal relevan dengan perkembangan industri.

“Universiti juga berkuasa untuk menamatkan atau membekukan program yang didapati tidak lagi relevan dengan keperluan semasa.

“Ini membuktikan komitmen berterusan pihak institusi dan MQA dalam memastikan hanya program yang benar-benar berkualiti dan berdaya saing dikekalkan,” katanya.

Tegasnya, MQA bukan sahaja berperanan sebagai badan pengakreditasi, tetapi juga sebagai penjaga mutu pendidikan tinggi negara dalam memastikan setiap graduan yang dilahirkan berdaya saing, berpengetahuan tinggi dan mampu memenuhi kehendak pasaran kerja global.

ARTIKEL BERKAITAN

Popular