34.8 C
Kuala Lumpur
Tuesday, February 3, 2026

UPSI tarik perhatian lebih 4,000 pelajar baharu seluruh negara bagi sesi 2025/2026

editormaxinfo@gmail.com

TANJONG MALIM – Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) terus mengukuhkan kedudukannya sebagai institusi pendidikan tinggi terunggul negara apabila menerima kehadiran seramai 4,063 pelajar baharu bagi program Ijazah Sarjana Muda sesi pengajian September 2025/2026.

Pendaftaran pelajar baharu yang berlangsung selama dua hari bermula 27 September menyaksikan kehadiran pelajar dari seluruh pelusuk negara, termasuk Sabah dan Sarawak.

Suasana Kampus Sultan Azlan Shah menjadi meriah dengan kehadiran ibu bapa dan keluarga yang turut hadir memberikan sokongan kepada anak masing-masing yang memulakan fasa baharu dalam kehidupan akademik mereka.

Naib Canselor UPSI, Prof. Datuk Dr. Md. Amin Md. Taff berkata, kehadiran ribuan pelajar ini adalah bukti keyakinan masyarakat terhadap UPSI sebagai universiti pilihan utama dalam bidang pendidikan.

“UPSI bukan sekadar tempat menuntut ilmu, tetapi juga wadah untuk membina peribadi dan sahsiah diri.

“Legasi Suluh Budiman yang menjadi asas UPSI perlu terus disemai dalam jiwa setiap mahasiswa agar mereka menjadi insan yang menyinari keluarga, masyarakat dan negara,” katanya.

Beliau berkata, proses pendaftaran berjalan lancar sejak seawal jam 7.30 pagi hasil kerjasama pasukan sokongan universiti termasuk 180 sukarelawan Rakan Minggu Intelektual dan Interaksi Anak Kandung Suluh Budiman (MILLENIA) serta Bahagian Keselamatan UPSI.

Sukarelawan ini memainkan peranan penting dalam menyusun atur barisan, menguruskan dokumentasi, dan membantu memudahkan urusan pelajar serta ibu bapa sepanjang proses pendaftaran.

“Sebagai bakal pendidik, mahasiswa UPSI perlu bijak mengimbangi kecemerlangan akademik dengan nilai adab dan akhlak, kerana itu adalah cerminan sebenar seorang insan berilmu,” katanya.

Turut hadir memeriahkan sesi pendaftaran ialah Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Prof. Dr. Norkhalid Salimin, yang bersama-sama barisan pengurusan universiti seperti Timbalan Pendaftar Kanan, Maskana Ahmad, pengetua kolej kediaman serta kakitangan universiti bagi menyantuni pelajar dan ibu bapa mereka.

Dalam usaha memperkenalkan budaya universiti dan membina asas yang kukuh dalam kehidupan kampus, pelajar baharu dijadualkan mengikuti Minggu Orientasi pada 29 dan 30 September.

Program ini turut memberi ruang untuk membina jaringan persahabatan serta memperkenalkan ekosistem akademik yang akan ditempuhi sepanjang tempoh pengajian.

UPSI terus komited dalam melahirkan pendidik dan pemimpin masa depan yang bukan sahaja cemerlang dari aspek akademik, tetapi juga berwibawa dalam membina masyarakat yang berilmu dan berakhlak.

ARTIKEL BERKAITAN

Popular