editormaxinfo@gmail.com
KUALA LUMPUR – MNC Pictures kembali mencuri perhatian pencinta drama televisyen apabila memperkenalkan sinetron terbaharu berjudul “Cinta Sepenuh Jiwa”, yang bakal menemui penonton secara eksklusif di saluran RCTI dalam masa terdekat.
Sinetron yang mengangkat kisah cinta penuh emosi dan makna ini menampilkan barisan pelakon muda berbakat seperti Cut Syifa, Ibrahim Risyad dan Kenny Austin sebagai teraju utama.
Dengan jalan cerita yang menyentuh hati, sinetron ini dijangka menjadi antara naskhah yang meninggalkan kesan mendalam kepada penontonnya.
Menambahkan lagi keistimewaan naskhah ini adalah pemilihan lagu tema rasmi bertajuk “Menamakanmu Cinta”, ciptaan komposer terkenal Ade Govinda dan dinyanyikan oleh penyanyi tersohor Malaysia, Dato’ Seri Siti Nurhaliza.
Kolaborasi dua nama besar ini ternyata membawa kekuatan emosi tersendiri, menjadikan lagu berkenaan sebagai elemen penting dalam menjiwai kisah cinta yang dipaparkan dalam Cinta Sepenuh Jiwa.

Sejak dilancarkan, lagu “Menamakanmu Cinta” telah mencatat sambutan luar biasa daripada peminat muzik serantau.
Lirik video rasmi yang dimuat naik pada 18 Julai 2025 telah meraih lebih 3.3 juta tontonan, manakala Official Music Video yang diterbitkan pada 12 September 2025 telah ditonton lebih 395 ribu kali di YouTube.
Lagu ini turut mencatat kejayaan di platform digital lain, dengan lebih 4.9 juta putaran di YouTube Music dan 2.1 juta strim di Spotify, membuktikan ia bukan sekadar lagu tema biasa, malah menjadi fenomena dalam kalangan pencinta muzik.
Menurut Ade Govinda, “Menamakanmu Cinta” adalah refleksi sebenar terhadap emosi cinta yang mendalam sesuatu yang sangat selari dengan tema utama sinetron ini.

“Selaras dengan judul sinetronnya, Menamakanmu Cinta menjadi bentuk ungkapan rasa cinta yang kita rasakan kepada orang tersayang.
“Sepenuh jiwa kita mencintai seseorang tapi kadang tak sepenuh jiwa diungkapkannya. Jadi saya sendiri tak sabar untuk menyaksikan jalan cerita sinetron ini,” katanya.
Dengan gabungan antara skrip yang kuat, gandingan pelakon yang berbakat serta muzik latar yang mendalam, Cinta Sepenuh Jiwa diyakini bakal menjadi antara karya paling istimewa dalam dunia sinetron Indonesia tahun ini.
Drama ini juga menjanjikan pengalaman menonton yang penuh nilai kekeluargaan, kasih sayang dan emosi, menjadikannya pilihan ideal untuk tontonan seisi keluarga.
Penonton setia sinetron Indonesia diseru untuk tidak melepaskan peluang menyaksikan penayangan perdana sinetron “Cinta Sepenuh Jiwa” hanya di RCTI, dalam masa terdekat.

