26.5 C
Kuala Lumpur
Tuesday, October 14, 2025

Konsert Lagenda Nada Murni 2025, Hijjaz dan Rabbani kembali bersatu selepas tiga dekad

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR – Selepas lebih tiga dekad membawa haluan masing-masing, dua nama besar dalam dunia nasyid tanah air Hijjaz dan Rabbani bakal kembali bergabung di atas satu pentas menerusi Konsert Lagenda Nada Murni, sebuah acara istimewa yang bakal mengimbau era kegemilangan nasyid 1980-an.

Dianjurkan oleh Karri Talk Production dan Westzone Entertainment, konsert ini akan berlangsung pada 7 Disember 2025, bertempat di Idea Live Arena, Petaling Jaya, bermula jam 8 malam.

Acara ini bukan sekadar sebuah persembahan muzik, tetapi juga adalah satu pertemuan semula penuh makna antara bekas ahli kumpulan nasyid legenda Nada Murni, yang kini dikenali menerusi dua kumpulan terkenal Hijjaz dan Rabbani.

Wakil penganjur berkata, Konsert Lagenda Nada Murni adalah satu penghormatan terhadap perjalanan muzik nasyid tanah air, di samping menjadi wadah untuk menyatukan kembali nostalgia peminat terhadap lagu-lagu nasyid yang pernah mencetus fenomena pada zamannya.

“Konsert ini bukan sekadar hiburan, tetapi sebuah peristiwa bersejarah yang mempertemukan kembali insan-insan seni yang pernah menyatu di bawah nama Nada Murni.

“Ia akan menjadi malam yang penuh emosi, kenangan dan spiritual, tatkala muzik menyatukan kembali kita semua,” katanya.

Penonton bakal disajikan dengan deretan lagu klasik yang pernah mempopularkan Nada Murni, antaranya “Di Pondok Kecil,” “Di Sini Kami Berkumpul,” serta “Tanpa Agama” yang pasti akan menghidupkan kembali nostalgia era 80-an.

Persembahan turut dimeriahkan dengan kehadiran artis jemputan istimewa seperti Saujana, Akhil Hayy dan Pak Dinie, yang akan tampil selaku juri jemputan dalam satu segmen khas semasa konsert.

Konsert berdurasi dua jam ini menjanjikan pengalaman rohani dan hiburan yang menyentuh jiwa, melalui harmoni vokal dan lirik yang sarat dengan mesej dakwah serta nilai murni.

Ia adalah peluang yang cukup istimewa buat para peminat nasyid untuk menyaksikan penyatuan semula yang sudah lama dinanti.

Jualan tiket rasmi akan bermula pada 26 September 2025, secara eksklusif melalui platform ILASSO TICKETS dan FANTOPIA.

Menariknya, sistem jualan tiket telah dibahagikan kepada tiga kategori utama iaitu Lelaki (Men Section), Wanita (Women Section), dan Keluarga (Family Section) satu inisiatif mesra penonton yang menghormati keselesaan serta keharmonian suasana konsert.

Harga tiket pula ditawarkan pada empat kategori bermula dari RM128, RM218, RM238 sehingga RM258. Dengan jangkaan sambutan luar biasa, peminat dinasihatkan untuk mendapatkan tiket lebih awal bagi mengelakkan kekecewaan.

Buat generasi yang membesar bersama irama nasyid, nama Nada Murni bukanlah sesuatu yang asing. Ditubuhkan sekitar tahun 1987, kumpulan ini pernah menggegarkan pentas nasyid negara dengan lagu-lagu seperti “Bila Nur Melimpah Di Hati” dan “Nun Di Sana”.

Uniknya, mereka memulakan perjalanan seni dengan merakam lagu dalam saluran air (gelung) di Kampung Sungai Penchala, memandangkan ketika itu mereka belum memiliki studio atau peralatan muzik yang lengkap.

Lagu-lagu mereka hanya disampaikan melalui satu nada namun tetap mampu menyentuh hati pendengar.

Pada tahun 1994, kumpulan ini berpecah, dengan anggotanya membawa haluan baharu dan menubuhkan kumpulan Rabbani dan Hijjaz, dua nama yang kemudiannya mencipta sejarah tersendiri dalam dunia muzik nasyid tanah air.

Kini, setelah sekian lama penyatuan semula mereka dalam Konsert Lagenda Nada Murni pastinya menjadi detik bersejarah buat industri nasyid dan peminat muzik Islamik di Malaysia.

ARTIKEL BERKAITAN

Popular