34.8 C
Kuala Lumpur
Tuesday, February 3, 2026

Eira Syazira, Nabila Maharani luncurkan kolaborasi serantau,‘Bawang Merah Bawang Putih’

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR – Dua nama besar dalam dunia hiburan serantau, Eira Syazira dari Malaysia dan Nabila Maharani dari Indonesia, kini bergabung tenaga dalam sebuah projek muzik yang dinanti-nantikan.

Mereka melancarkan single terbaru berjudul ‘Bawang Merah Bawang Putih’, yang kini boleh didapati di semua platform digital streaming utama serta saluran rasmi YouTube Trisna Music.

Single bergenre pop ini adalah hasil karya istimewa yang ditulis sepenuhnya oleh Tri Suaka (Trisuaka), yang turut terbabit dalam penyusunan muzik bersama Ardy Goliath.

Proses rakaman lagu ini telah dijalankan di Studio Trisna Music, Jogjakarta, menyaksikan kolaborasi kreatif antara pemuzik-pemuzik hebat dari Malaysia dan Indonesia, sekali gus mengukuhkan lagi hubungan muzik serantau yang semakin berkembang.

Projek muzik ini dijayakan di bawah naungan dua syarikat hiburan terkemuka, iaitu ES Arjuna Management (Malaysia) dan Positif Art Entertainment (Indonesia).

Kerjasama ini bukan sahaja memperlihatkan kebolehan kedua-dua artis, tetapi juga melambangkan semangat kesatuan dalam industri hiburan serantau, menghubungkan Malaysia dan Indonesia melalui medium muzik yang universal.

Lebih istimewa lagi, keseluruhan projek ini daripada penghasilan lagu hingga ke produksi video muzik menerima sokongan penuh daripada Candyta, sebuah jenama produk penjagaan rambut yang semakin mendapat tempat di kalangan pengguna.

Video muzik untuk lagu ini, yang turut dirakam di Jogjakarta, mengangkat kisah klasik Bawang Merah Bawang Putih.

Ia menggambarkan perjuangan watak Bawang Putih, yang sering diperlakukan tidak adil oleh ibu dan adik tirinya, sebelum akhirnya diselamatkan oleh seorang putera berkuda.

Kisah penuh emosi ini dijangka akan menyentuh hati penonton, dengan visual sinematik yang membawa penonton menghayati cerita lama dengan pendekatan moden.

“Kolaborasi ini bukan hanya sekadar pertemuan dua suara hebat dari dua negara, tetapi juga sebuah jambatan budaya yang menyatukan Malaysia dan Indonesia melalui muzik,” kata Azad Jazmin, wakil pengurusan projek ini.

Azad berkata, projek ini adalah contoh terbaik bagaimana seni dan muzik mampu melintasi sempadan negara dan membina hubungan erat antara rakyat Malaysia dan Indonesia.

“Bawang Merah Bawang Putih” kini telah pun dilancarkan di semua platform digital sejak 9 September 2025 dan peminat muzik di kedua-dua negara serta seluruh Nusantara dijemput untuk merasai momen bersejarah ini.

Lagu ini dijangka bakal menjadi hit besar, dengan menggabungkan keunikan suara dua penyanyi hebat dan mesej mendalam yang boleh diterima oleh semua lapisan masyarakat.

ARTIKEL BERKAITAN

1 COMMENT

Comments are closed.

Popular