29.6 C
Kuala Lumpur
Wednesday, November 12, 2025

Lancar single pertama, Lot 17 pertaruh ‘Mencari Sinar’

editormaxinfo@gmail.com

SHAH ALAM – Kumpulan muzik baharu, Lot 17 yang dianggotai oleh kakitangan Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) kini melakar langkah baharu dalam dunia seni apabila secara rasmi melancarkan single sulung mereka berjudul Mencari Sinar.

Lagu Mencari Sinar menampilkan kolaborasi tenaga kreatif yang berpengalaman dalam industri muzik tempatan.

Liriknya ditulis oleh RossBai, manakala melodi digubah oleh Jatt Aziz. Proses penyusunan dan penerbitan pula digalas oleh pemuzik terkenal, Zul 2by2, yang memberikan sentuhan segar namun tetap sarat dengan elemen nostalgia muzik era 90-an.

Lot 17 dianggotai oleh tujuh pemuzik berbakat iaitu Tuan E-Zat selaku vokalis utama, Lie (gitar utama), Lan Asbu (gitar kedua), Nazz (bass), Amer Ameroll (dram), Boy (keyboard) dan Armadd (violin).

Kumpulan ini bukanlah nama baharu di pentas tempatan, malah telah aktif sejak tahun 2010 sebagai kombo rasmi MBKT di bawah unit kebudayaan.

Selain kerap membuat persembahan di pelbagai majlis keraian kerajaan negeri, Lot 17 juga pernah diberi penghormatan membuat persembahan sempena majlis santapan diraja serta mengiringi artis tersohor, Datuk Awie, dalam acara Mekar Fest 2025.

Bagi Tuan E-Zat, yang sebelum ini pernah menjuarai pertandingan Bintang Nescafé 2012, pelancaran Mencari Sinar adalah satu titik perubahan besar buat kumpulan mereka.

“Ini rezeki yang tidak disangka. Daripada sekadar membuat persembahan di majlis rasmi, kini kami diberi peluang untuk menampilkan karya ciptaan sendiri.

“Dengan sokongan penaja dan penerbit, kami percaya muzik Lot 17 mampu diterima dalam arus perdana,” katanya optimis.

Menariknya, projek penghasilan lagu ini turut mendapat perhatian dan sokongan daripada pihak penaja utama iaitu pengasas jenama Casalwa, Datin Sharifah Salwa Syed Shafie.

Menurut beliau, penglibatan Lot 17 dalam dunia muzik profesional harus disambut dengan sokongan padu.

“Saya mula mengenali mereka melalui persembahan secara langsung. Dari situ, saya nampak bakat mereka bukan biasa-biasa.

“Mereka bukan sahaja berbakat dalam nyanyian dan permainan alat muzik, malah mempunyai keserasian dan disiplin kerja yang tinggi. Saya yakin mereka mampu pergi jauh,” katanya pada majlis pelancaran lagu berkenaan, baru-baru ini.

Pada majlis itu, turut diadakan pertunjukan fesyen yang menampilkan 10 rekaan baharu bertemakan ‘Sinar’ di mana setiap busana membawa simbol harapan, cahaya dan tenaga baharu.

Setiap koleksi yang diperagakan berkonsep moden dan kontemporari disulamkan dengan elemen tradisional, memberi sentuhan unik yang melengkapi tema lagu Mencari Sinar.

Sharifah Salwa berkata, Mencari Sinar hanyalah permulaan kepada perancangan yang lebih besar. Penulis lirik RossBai dikatakan telah pun menyiapkan lebih lima buah lagu lain yang bakal dilancarkan secara berperingkat.

“Kami merancang untuk menggabungkan muzik dengan elemen kreatif lain seperti fesyen, seni visual dan persembahan pentas yang lebih inovatif.

“Visi kami adalah untuk melihat bakat tempatan seperti Lot 17 dapat bersaing di peringkat lebih tinggi,” katanya.

Sementara itu, penerbit lagu Mencari Sinar, Zul 2by2, menyifatkan pengalaman bekerjasama dengan Lot 17 sebagai satu peluang untuk mengangkat semula semangat muzik era 90-an yang kini kembali diminati ramai.

“Saya tertarik dengan suara Tuan E-Zat yang membawa vibe nostalgia. Apabila saya dengar rakaman awal mereka, ia terus mengimbau zaman kegemilangan muzik 90-an.

“Jadi saya ambil pendekatan untuk menghasilkan susunan muzik yang mudah diterima tetapi tetap ada identiti tersendiri,” katanya.

Zul turut memberi jaminan bahawa usaha promosi dan strategi pemasaran akan dilaksanakan dengan teliti bagi memastikan lagu ini tidak tenggelam begitu sahaja.

“Kami tidak akan berhenti di sini. Single kedua juga sedang dalam perancangan dan beberapa karya lain telah pun siap dari segi lirik. Insya-Allah, akan ada lebih banyak kolaborasi selepas ini,” katanya.

Dengan pelancaran single ini, Lot 17 membuktikan bahawa bakat dalam sektor awam juga mampu menyerlah di persada seni tanah air, asalkan diberi ruang dan sokongan yang sewajarnya.

Lagu Mencari Sinar kini boleh dinikmati menerusi semua platform penstriman digital utama.

ARTIKEL BERKAITAN

1 COMMENT

Comments are closed.

Popular