editormaxinfo@gmail.com
KUALA LUMPUR – Selepas tiga tahun menyepi, Anugerah Industri Muzik Malaysia (AIM) kembali dengan edisi ke-24 yang dijangka lebih gemilang dan berimpak besar kepada industri muzik tempatan.
Dianjurkan oleh Persatuan Industri Rakaman Malaysia (RIM), AIM24 akan berlangsung pada 13 September 2025 di Arena of Stars, Genting Highlands, dan akan disiarkan secara langsung menerusi saluran rasmi penyiaran negara, RTM.
Sebagai acara anugerah muzik paling berprestij di Malaysia sejak mula diperkenalkan pada 1993, AIM terus mengangkat martabat seni muzik tanah air.
Tahun ini, penganjur memperkenalkan tiga kategori baharu bagi mencerminkan kepelbagaian, warisan budaya, serta keterbukaan industri muzik Malaysia terhadap kolaborasi global.
Antara kategori baharu yang diperkenalkan termasuk Lagu Perpaduan Terbaik, yang meraikan karya muzik yang mengangkat nilai keharmonian dan kebersamaan rakyat Malaysia; Lagu Tradisional Terbaik, yang mengiktiraf ciptaan berteraskan warisan muzik asli tempatan; dan Kolaborasi Artis Tempatan Bersama Artis/Komposer Luar Negara Terbaik, sebagai penghargaan terhadap kerjasama rentas sempadan yang mengangkat nama Malaysia di persada antarabangsa.
Pengerusi RIM merangkap Pengerusi Jawatankuasa Penganjur AIM24, Rosmin Hashim berkata, penambahan kategori baharu ini adalah komitmen berterusan RIM dalam memberi ruang yang adil dan inklusif kepada penggiat muzik dari pelbagai latar belakang dan genre.
“Dengan kemunculan semula AIM, kami bukan sahaja meraikan kreativiti dan pencapaian, tetapi juga ingin memacu industri muzik ke arah yang lebih progresif dan sejajar dengan perkembangan semasa.
“Kategori baharu seperti ‘Lagu Perpaduan’ dan ‘Lagu Tradisional’ menunjukkan iltizam kami terhadap kepelbagaian budaya, manakala kategori kolaborasi antarabangsa mengiktiraf usaha artis tempatan meneroka pasaran luar,” katanya.
Dalam satu perkembangan membanggakan, AIM24 turut menerima sokongan padu daripada Kementerian Komunikasi Malaysia yang memperuntukkan dana berjumlah RM700,000 menerusi Dana Kandungan Kreatif (DKK) di bawah MyCreative Ventures (MyCV).
Dana ini akan disalurkan kepada sebelas pemenang kategori utama AIM24, menggandakan jumlah berbanding hanya RM320,000 yang disediakan pada edisi terdahulu.

Dana berkenaan bertujuan menyokong usaha penerbitan, promosi dan pengedaran karya kreatif tempatan yang mempunyai potensi tinggi dari aspek komersial dan nilai seni.
Ia juga akan disalurkan terus kepada syarikat rakaman pemenang sebagai langkah memaksimumkan impak ekonomi dalam ekosistem industri muzik Malaysia.
RTM, sebagai penyiar rasmi AIM24, turut menyatakan komitmennya dalam memperkukuh platform kepada bakat tempatan.
Ketua Pengarah Penyiaran RTM, Datuk Suhaimi Sulaiman berkata, RTM berbesar hati menjadi sebahagian daripada AIM24.
“Kami percaya muzik bukan hanya hiburan, tetapi juga pemangkin kepada perpaduan dan identiti budaya.
“AIM ialah pentas yang menghormati kreativiti, dedikasi dan keunggulan seni muzik negara,” katanya.
Tambahnya, kolaborasi bersama RIM adalah selaras dengan aspirasi RTM untuk memperluaskan pendedahan kepada karya-karya tempatan berkualiti tinggi dan memberi inspirasi kepada generasi baharu penggiat seni.
Pencalonan bagi AIM24 dibuka mulai 4 Jun hingga 4 Julai 2025 kepada karya muzik dalam Bahasa Malaysia, Inggeris, Cina dan India yang diterbitkan antara 1 Julai 2022 hingga 31 Disember 2024.
Pencalonan boleh dibuat secara atas talian melalui laman rasmi AIM di www.aim1.org.my.
Sebanyak 31 kategori dipertandingkan, termasuk Artis Baru Terbaik, Vokal Lelaki/Wanita Terbaik, Lagu Pop Terbaik, Lagu Rock Terbaik, Album Terbaik dan Lagu Terbaik, selain beberapa kategori pra-anugerah seperti Lagu Paling Tinggi Distrim dan Video Muzik Rasmi Paling Tinggi Ditonton di YouTube.
Proses penjurian akan dijalankan secara telus dan profesional oleh panel bebas yang terdiri daripada pakar-pakar industri muzik tanah air, dengan Ketua Juri dilantik oleh jawatankuasa penganjur AIM.
Semua penilaian akan diaudit secara rasmi sebelum keputusan diumumkan. Lima calon akhir untuk setiap kategori dijangka diumumkan pada Ogos 2025.
Sementara itu, penerima Anugerah Sri Wirama penghargaan tertinggi dalam AIM akan dipilih secara langsung oleh Majlis RIM sebagai pengiktirafan terhadap sumbangan luar biasa individu terhadap industri muzik tempatan.
Dengan gabungan semangat baharu, kategori yang lebih inklusif, sokongan kerajaan dan kerjasama penyiaran strategik, AIM24 dijangka menjadi peristiwa penting dalam kalendar muzik Malaysia tahun ini, sekaligus memperkukuh kedudukan industri muzik negara di mata dunia.

