editormaxinfo@gmail.com
KUALA LUMPUR – Presiden Nambikkai Malaysia, Dato’ Dr. KalaiVanar mendesak polis membuat siasatan semula terhadap kes kematian seorang doktor Oktober tahun lalu.
Dr KalaiVanar berkata, sebanyak 18 laporan polis telah dibuat oleh keluarga mangsa, yang percaya kematian Dr. Shintumathi a/p Mutusamy adalah satu pembunuhan terancang dan bukannya kematian mengejut.
“Saya menyeru Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain melakukan siasatan semula dengan penuh teliti dan mendalam.
“Saya juga meminta pihak berkuasa untuk menangkap suspek yang dipercayai, Dr. Prakash Kumar a/l Jayapalan, untuk membantu siasatan lanjut bagi memastikan keadilan bagi mendiang Dr. Shintumathi dan keluarga,” katanya.
Terdahulu, Dr. Shintumathi telah meninggal dunia pada 8 Oktober 2023 di kediamannya di High Park Suite, Kelana Jaya, Selangor.
Pihak polis mengklasifikasikan kematiannya sebagai “mati mengejut”, namun keluarga mendiang percaya terdapat konspirasi yang menyebabkan mendiang dibunuh.

Mangsa mengendalikan Poliklinik Vista di Petaling Jaya bersama rakan kongsinya, Dr. Prakash Kumar.
Difahamkan, hubungan antara mangsa dan Dr. Prakash dipercayai lebih dari sekadar rakan kongsi, di mana Dr. Prakash didakwa adalah teman lelaki mendiang walaupun beliau sudah berkahwin.
Sementara itu, ibu mangsa, Vijaya Letchimi, dan kakak mangsa, Revathi a/p Mutusamy, percaya bahawa mendiang pernah menjalani pengguguran hasil hubungan dengan Dr. Prakash, yang mungkin diketahui oleh isteri Dr. Prakash.
Beberapa bukti juga menunjukkan Dr. Prakash sering menemani mendiang, termasuk kali terakhir pada 5 Oktober 2023, sebelum mendiang ditemui mati.

